Saturday, November 13, 2010

Rusa mengamuk di dalam bar


BLUFFTON, Ohio - Beberapa pekerja di sebuah bar di Ohio, Amerika Syarikat (AS) bertempiaran lari selepas seekor rusa jantan tiba-tiba melompat masuk dan merempuh kerusi serta meja dalam premis itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Tiada kecederaan berlaku dalam kejadian itu di sini baru-baru ini tetapi premis tersebut mencatat kerugian besar kerana banyak barangan rosak.


Meja dan kerusi berterbangan selepas dirempuh dengan tanduk haiwan itu.
Semasa kejadian, cuma terdapat beberapa orang pekerja di dalam bar itu.

Salah seorang pekerja berkenaan melompat meja bar bagi menyelamatkan diri.

"Naluri saya menyatakan adalah lebih baik saya tidak mendekati rusa itu yang naik minyak," kata seorang pelayan. Danielle Weyer.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bar itu menunjukkan ia melompat masuk melalui tingkap dan memecahkan beberapa buah meja dan kerusi sebelum keluar dari pintu belakang premis tersebut.



Aksi rusa itu boleh dilihat di laman YouTube.




Jadi buta selama 10 minggu

DENTON - Seorang budak perempuan berusia 11 tahun di Britain, Becky Cranmer mengejutkan doktor-doktor selepas dia hilang penglihatan dalam masa cuma 10 minggu, lapor sebuah akhbar semalam

Becky disahkan menghidap penyakit radang saraf optik dikenali sebagai neuritis optik.

Penyakit ganjil itu biasanya sembuh selepas pesakit diberikan steroid tetapi ubat tersebut tidak berkesan buat Becky.

Dia buta selama 10 minggu enam bulan lalu ketika dia berkelah bersama keluarganya semasa cuti musim panas yang lepas.

"Ketika itu, kami pergi bercuti dengan menaiki karavan dan dia (Becky) berulang kali meminta kami membuka lampu, pada hal, cuaca di luar karavan adalah cerah," kata ibunya, Angela Cranmer, 40.

Ibunya kemudian membawanya menjalani pelbagai ujian perubatan, tetapi doktor-doktor gagal mencari punca penyakit tersebut kerana matanya yang bengkak

Menurut ibunya, ketika itu, dia diberitahu oleh beberapa doktor bahawa Becky akan dapat melihat kembali jika saraf optiknya tidak rosak.

Dia kemudian dapat melihat semula selepas beberapa minggu dia mengunjungi hospital tersebut.





Raja Farah, Megat diijab kabul


Pelakon dan peragawati, Raja Farah Raja Aziz selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Megat Bashirun Qhuyum Zakaria dengan sekali lafaz, di sini, semalam. Raja Farah, 22, dan Megat Bashirun, 25, dinikahkan bapa pengantin perempuan Raja Aziz Raja Ngah sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Rosly Mohd Arus dengan mas kahwin RM888 pada jam 11.10 pagi. Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih tajaan dan rekaan Syahmir Nur Din pada majlis akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, rakan artis dan kenalan. Sebelum ini, timbul gosip mengenai kehidupan pelakon yang popular menerusi drama bersiri, Mertua VS Menantu yang disiarkan di Astro Prima. Majlis merisik pada 9 Oktober lalu di kediaman keluarga perempuan bertukar menjadi majlis pertunangan. Perkenalan pada awal tahun membuatkan pasangan ini membulatkan tekad untuk mengakhiri zaman solo masing-masing.

Menurut Raja Farah, dia bersyukur kerana majlis akad nikah yang dirancang berjalan lancar walaupun ada sesetengah pihak cuba membuat pelbagai spekulasi berhubung majlis berkenaan. Bagi dirinya, apa yang lebih penting dia mengambil keputusan berkahwin tanpa sebarang paksaan atau dipengaruhi mana-mana pihak.
“Insya-Allah saya melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin walaupun tidak bersedia 100 peratus. Saya akui masih banyak perkara perlu saya pelajari. Buat masa ini, saya banyak bertanya serta belajar daripada ibu dan ibu mentua.

“Memang kami sudah merancang untuk majlis bernikah pada hari ini (semalam). Walaupun berlangsung pada hari Jumaat dengan masa yang agak terhad saya bersyukur kerana apa yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Sikap memahami dan mengambil berat menjadi salah satu keistimewaan yang ada pada suami. Sementara cepat serasi dan berkongsi minat sama iaitu menyelam di dasar laut menjadi antara alasan Megat Bashirun menjadikan Raja Farah sebagai isteri. Raja Farah memulakan kerjaya dalam bidang seni sekitar 2001. Gadis kelahiran Kuala Lumpur, anak ketiga daripada empat beradik. Dia mula bergiat aktif dalam iklan televisyen ketika berusia 13 tahun.

Dia turut membuat kemunculan di layar perak menerusi filem seperti Anak Halal, Apa Kata Hati, Maut dan terbaru Haq yang bakal menerjah pawagam tidak lama lagi.

Bagi Megat Bashirun pula, walaupun sedar perkenalan dengan isteri agak singkat, namun dia percaya jodoh di antara mereka cukup kuat sehingga mendorong untuk mendirikan rumah tangga.

“Kalau ikutkan semuanya berlaku secara spontan. Walaupun kami boleh dikatakan baru berkenalan. Namun, naluri hati dapat berasakan keserasian yang kuat dan dia (Raja Farah) adalah jodoh saya,” katanya.

Pengantin lelaki menyerahkan tujuh hantaran berupa pelbagai barangan keperluan, makanan dan perhiasan dibalas sembilan oleh pihak perempuan.



P/S - Selamat pengantin baru..




Gadis hilang selepas 15 hari kenal 'Saiful Nizam'

ROKIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kehilangan Aminah di Pasir Mas, Kelantan semalam

PASIR MAS - Usia perkenalan mereka hanya 15 hari, namun kerana termakan pujuk rayu seorang lelaki yang berjanji akan mengahwininya, seorang gadis, Aminah Arifin (gambar), 24, sanggup meninggalkan keluarganya untuk mengikut lelaki tersebut.

Aminah yang bekerja di sebuah pasar raya dekat sini dikatakan hilang sejak 28 Oktober lalu bersama kereta Perodua Viva miliknya selepas dipercayai mengikuti seorang lelaki dikenali Saiful Nizam yang turut mendakwa kononnya dia seorang anggota polis.

Ibu Aminah, Rokiah Jusoh, 57, berkata, lelaki tersebut menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan anaknya ketika Aminah membawa dia berjumpa dengannya pada 16 Oktober lalu.

"Saya pernah jumpa lelaki tersebut sekali dan sangat terkejut bila dia cakap mahu kahwin dan memberikan janji-janji manis sebab mereka baru kenal selama 15 hari, malah latar belakang lelaki itu juga kami tidak tahu.
"Saya pernah nasihatkan Aminah mungkin lelaki itu cuba tipu dia tapi mereka tetap berkawan sampailah dia hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Che Dol dekat sini semalam





Amuk dengan Pedang Samurai

‘Aku nak isteri aku!’

CEDERA...Mohd Taufik menunjukkan tangannya yang luka akibat dilibas parang.

KUANTAN: “Saya sempat menyepak pistol yang jatuh dari seluarnya sebelum melarikan diri ke dalam bilik, jika tidak pasti kami bertiga mati ditembak,” kata bekas pengawal keselamatan, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, yang diserang ‘ala mafia’ oleh seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan pedang samurai di kediamannya di Flat Alor Akar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Taufik dan isterinya, Suziana Hopiah, 24, bermandi darah selepas parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki yang bertindak seperti dirasuk syaitan itu.

Turut menjadi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dijaga pasangan itu yang cedera di kepala, tangan dan patah kaki kiri.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Anas Safian Effa Rizal, anak pasangan guru yang menetap berdekatan rumah mangsa, dilaporkan retak tempurung kepalanya. Tiga mangsa itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Taufik yang cedera di belakang dan tangan kiri berkata, dia dikejutkan anak jirannya kira-kira jam 9 pagi memaklumkan ada seseorang mahu berjumpanya.

Katanya, dia bangun dari tidur lalu menuju ke pintu rumah dan terkejut apabila mendapati pintu terbuka luas dengan seorang lelaki tercegat di situ, tetapi dia hanya mendiamkan diri.

“Ketika saya menghampirinya dan menjenguk ke luar, tiba-tiba datang seorang lelaki terus melibas pedang samurai menyebabkan saya cedera tapak tangan saya dan terjatuh,” katanya ditemui di luar wad kecemasan HTAA, pagi semalam.

Katanya, dia cuba bangun untuk mempertahankan diri daripada serangan lelaki seolah-olah dirasuk syaitan yang tidak berhenti melibas pedang ke arahnya, manakala seorang lagi lelaki hanya berdiri diam seperti mengawal supaya orang luar tidak masuk masuk campur.

“Saya menepis libasan menggunakan tangan kiri dan ketika bergelut, saya ternampak pistol terjatuh dari seluarnya dan dengan kudrat yang ada saya menyepak senjata itu sebelum melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah masuk ke bilik sambil menjerit kepada isteri yang berada di bilik sebelah bersama Anas supaya mengunci pintu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika itu dia mendengar pintu bilik isteri bersama kanak-kanak berkenaan diterajang sebelum mendengar jeritan dan tangisan mereka.

“Apabila membuka pintu, saya melihat kedua-dua mereka berlumuran darah dengan isteri cedera di kepala, bahu dan tangan kanan, manakala Anas cedera di kepala, kaki serta tangan kiri. “Ketika itu, dua lelaki berkenaan sudah melarikan diri.

“Dengan bermandi darah, saya menggagahkan diri memandu ke HTAA untuk bantuan dan rawatan,” katanya.

Dia mendakwa benar-benar tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak tahu mengapa mereka diserang.




“Bagaimanapun, ketika kami bergelut, lelaki itu beberapa kali bertempik ‘aku nak isteri aku balik’.

“Saya bingung dengan apa dikatakannya kerana saya sendiri tidak pernah kenal isterinya dan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Lebih menghairankan dia turut mengirim SMS ugutan kepada adik ipar saya berbunyi ‘abang dan kakak ipar kau sudah kena tetak, lepas ni satu keluarga aku kacau’,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai berusia 30-an.

Tangan kiri Anas Safian mungkin dipotong


Tangan kiri Anas Safian Effa Rizal, 3, salah seorang mangsa amuk seorang lelaki di sini mungkin terpaksa dipotong jika pihak perubatan gagal melakukan sambungan melalui pembedahan. Menurut ibunya, Suhana Mohamad, 33, ini disebabkan bahagian antara buku lima dengan pergelangan tangan (metacarpal) anaknya itu mengalami kecederaan teruk dan banyak urat saraf di kawasan itu terputus.
Kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah di bahagian tersebut akibat ditetak menggunakan pedang samurai oleh seorang lelaki yang menyerang rumah pengasuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

“Doktor beritahu urat tangan banyak putus dan cuba disambung semula melalui pembedahan bermula pukul 3 petang ini. Kalau urat saraf tidak berjaya disambung, tangannya terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di Dewan Bedah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Menurut ibu kanak-kanak itu yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, ibu jari tangan kiri anaknya hampir terputus dengan hanya sedikit kulit yang menyambungnya daripada putus terus.

“Saya dan suami berharap pihak hospital berjaya menyambungnya semula. Selain itu, bahagian kiri kepala, bahu kiri, tangan kiri dan kaki kiri juga mengalami pendarahan teruk akibat ditetak,” jelas ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu bapa mangsa, Effa Rizal Ali, 33, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika sedang mengajar di SMK Air Putih di sini.





 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!