Saturday, November 13, 2010

Amuk dengan Pedang Samurai

‘Aku nak isteri aku!’

CEDERA...Mohd Taufik menunjukkan tangannya yang luka akibat dilibas parang.

KUANTAN: “Saya sempat menyepak pistol yang jatuh dari seluarnya sebelum melarikan diri ke dalam bilik, jika tidak pasti kami bertiga mati ditembak,” kata bekas pengawal keselamatan, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, yang diserang ‘ala mafia’ oleh seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan pedang samurai di kediamannya di Flat Alor Akar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Taufik dan isterinya, Suziana Hopiah, 24, bermandi darah selepas parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki yang bertindak seperti dirasuk syaitan itu.

Turut menjadi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dijaga pasangan itu yang cedera di kepala, tangan dan patah kaki kiri.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Anas Safian Effa Rizal, anak pasangan guru yang menetap berdekatan rumah mangsa, dilaporkan retak tempurung kepalanya. Tiga mangsa itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Taufik yang cedera di belakang dan tangan kiri berkata, dia dikejutkan anak jirannya kira-kira jam 9 pagi memaklumkan ada seseorang mahu berjumpanya.

Katanya, dia bangun dari tidur lalu menuju ke pintu rumah dan terkejut apabila mendapati pintu terbuka luas dengan seorang lelaki tercegat di situ, tetapi dia hanya mendiamkan diri.

“Ketika saya menghampirinya dan menjenguk ke luar, tiba-tiba datang seorang lelaki terus melibas pedang samurai menyebabkan saya cedera tapak tangan saya dan terjatuh,” katanya ditemui di luar wad kecemasan HTAA, pagi semalam.

Katanya, dia cuba bangun untuk mempertahankan diri daripada serangan lelaki seolah-olah dirasuk syaitan yang tidak berhenti melibas pedang ke arahnya, manakala seorang lagi lelaki hanya berdiri diam seperti mengawal supaya orang luar tidak masuk masuk campur.

“Saya menepis libasan menggunakan tangan kiri dan ketika bergelut, saya ternampak pistol terjatuh dari seluarnya dan dengan kudrat yang ada saya menyepak senjata itu sebelum melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah masuk ke bilik sambil menjerit kepada isteri yang berada di bilik sebelah bersama Anas supaya mengunci pintu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika itu dia mendengar pintu bilik isteri bersama kanak-kanak berkenaan diterajang sebelum mendengar jeritan dan tangisan mereka.

“Apabila membuka pintu, saya melihat kedua-dua mereka berlumuran darah dengan isteri cedera di kepala, bahu dan tangan kanan, manakala Anas cedera di kepala, kaki serta tangan kiri. “Ketika itu, dua lelaki berkenaan sudah melarikan diri.

“Dengan bermandi darah, saya menggagahkan diri memandu ke HTAA untuk bantuan dan rawatan,” katanya.

Dia mendakwa benar-benar tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak tahu mengapa mereka diserang.




“Bagaimanapun, ketika kami bergelut, lelaki itu beberapa kali bertempik ‘aku nak isteri aku balik’.

“Saya bingung dengan apa dikatakannya kerana saya sendiri tidak pernah kenal isterinya dan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Lebih menghairankan dia turut mengirim SMS ugutan kepada adik ipar saya berbunyi ‘abang dan kakak ipar kau sudah kena tetak, lepas ni satu keluarga aku kacau’,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai berusia 30-an.

Tangan kiri Anas Safian mungkin dipotong


Tangan kiri Anas Safian Effa Rizal, 3, salah seorang mangsa amuk seorang lelaki di sini mungkin terpaksa dipotong jika pihak perubatan gagal melakukan sambungan melalui pembedahan. Menurut ibunya, Suhana Mohamad, 33, ini disebabkan bahagian antara buku lima dengan pergelangan tangan (metacarpal) anaknya itu mengalami kecederaan teruk dan banyak urat saraf di kawasan itu terputus.
Kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah di bahagian tersebut akibat ditetak menggunakan pedang samurai oleh seorang lelaki yang menyerang rumah pengasuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

“Doktor beritahu urat tangan banyak putus dan cuba disambung semula melalui pembedahan bermula pukul 3 petang ini. Kalau urat saraf tidak berjaya disambung, tangannya terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di Dewan Bedah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Menurut ibu kanak-kanak itu yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, ibu jari tangan kiri anaknya hampir terputus dengan hanya sedikit kulit yang menyambungnya daripada putus terus.

“Saya dan suami berharap pihak hospital berjaya menyambungnya semula. Selain itu, bahagian kiri kepala, bahu kiri, tangan kiri dan kaki kiri juga mengalami pendarahan teruk akibat ditetak,” jelas ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu bapa mangsa, Effa Rizal Ali, 33, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika sedang mengajar di SMK Air Putih di sini.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!