Friday, November 26, 2010

Penglihatan kabur, badan terasa kebas


JIKA anda mengalami degupan jantung yang pantas di luar kebiasaannya, segeralah berjumpa dengan doktor kerana anda mungkin mengalami Pemfibrilan Atrium (AF) iaitu salah satu penyumbang kepada strok.
Namun, tidak semua orang menyedari perkara tersebut dan akhirnya AF tidak dapat dikesan pada peringkat awal lalu menyebabkan serangan strok berlaku.

AF kini merupakan keabnormalan degupan jantung yang biasa dalam kalangan orang dewasa di seluruh dunia. Di negara-negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sahaja seramai sembilan juta orang dilaporkan diserang penyakit itu.

Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Institut Jantung Negara, Dr. Razali Omar berkata, AF dapat dikesan apabila jantung berdegup dengan tidak sekata, sama ada terlalu pantas atau terlalu perlahan.
“Ramai penghidap AF ini tidak menunjukkan simptom terutamanya apabila degupan jantung mereka tidak terlalu pantas.

“Namun, simptom yang biasa adalah seperti pening kepala, sakit dada dan sukar bernafas,” katanya ketika hadir di Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok baru-baru ini.
Oleh itu katanya, adalah sangat penting untuk merawat AF dengan kadar segera. Mereka yang mempunyai gejala AF berisiko hingga lima kali ganda lebih tinggi diserang strok berbanding mereka yang tiada masalah AF.

Strok yang disebabkan AF adalah lebih serius dan dikaitkan dengan lebih banyak kehilangan upaya berbanding strok yang bukan disebabkan AF.
“Bagaimana mahu memastikan seseorang itu mempunyai gejala AF? Kebiasaannya denyutan jantungnya dalam keadaan rehat adalah 150 manakala ketika berjalan pula adalah 180.

“Risiko AF ini meningkat dengan pertambahan usia dan ia menyerang satu peratus orang dewasa di seluruh dunia. Seorang daripada empat orang dewasa berusia 40 tahun ke atas akan berhadapan dengan keadaan tersebut,” jelasnya.

AF kebiasaannya berlaku kepada mereka yang mempunyai sakit jantung atau berkaitan dengannya seperti kegagalan fungsi jantung. Ia sangat jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Kadangkala sesetengah kes AF tiada penyebab yang jelas namun beberapa faktor gaya hidup boleh mencetus risikonya iaitu tekanan darah tinggi, diabetes melitus, mempunyai kelenjar tiroid terlampau aktif, kegagalan jantung atau mengambil alkohol terlalu banyak.

Strok berlaku dengan gejala AF apabila darah berkumpul dan tidak dapat mengalir kerana atrium tidak berfungsi dengan baik.
Darah berkumpul di dalam atrium dan membentuk darah beku yang melalui aliran darah. Darah beku itu menyekat aliran darah ke otak lalu menyebabkan strok.

“Strok boleh dikatakan sama seperti serangan jantung tetapi dalam hal ini ia menyerang otak. Darah perlu mengalir ke seluruh badan dan hingga ke otak bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.
“Jika aliran darah ini disekat oleh darah beku, otak akan kehilangan bekalan tenaga lalu menyebabkan kerosakan otak. Ia boleh membawa kepada kehilangan upaya atau kematian,” jelasnya.

AF merupakan faktor risiko utama penyebab strok. Di seluruh dunia, seramai tiga juta orang mendapat strok berkaitan AF setiap tahun iaitu sama dengan seorang dalam tempoh 12 saat.


Tidak sedar


Kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.

Hanya sebilangan kecil yang maklum mengenai tanda amaran atau mengetahui apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.
Sementara itu, Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri memberitahu, mengalami serangan strok tidak bermakna berakhirnya hidup seseorang itu.

“Strok boleh disembuhkan. Anggap sahaja ia satu permulaan yang baru. Strok boleh disembuhkan walaupun separuh daripada otak mengalami kerosakan.
“Serangan strok sememangnya boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayat. Jika sebelum ini mereka boleh berdikari tetapi apabila diserang strok, mereka mungkin mengalami kelumpuhan yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada mereka yang sihat,” katanya yang juga seorang pakar runding neurologi

Meskipun umum mengetahui kewujudan penyakit itu namun tidak ramai yang boleh menentukan kekerapan serangannya terhadap mangsa.
“Jangan sesekali memandang ringan terhadap penyakit ini kerana ia mampu mengubah hidup seseorang. Pesakit strok tidak mampu berdikari dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang hayat,” ujarnya.
Tambah Hamidon, strok boleh berlaku dengan dua cara berbeza iaitu apabila salur darah di dalam otak pecah (strok berdarah) dan apabila salur darah tersekat (strok iskemia).

Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran sehinggalah seseorang itu mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri.
Namun, bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.
“Apa yang boleh dilakukan adalah mengawal faktor utama yang boleh menyumbang kepada strok iaitu diabetes, darah tinggi, paras kolesterol dan tabiat merokok.

“Terus ke hospital jika diserang strok kerana otak akan rosak jika proses mendapatkan rawatan dilengah-lengahkan,” pesannya.
Mengurus AF lebih fokus kepada mengurangkan risiko strok melalui pencairan darah atau rawatan anti trombotik dan memulihkan kadar degupan jantung normal.




.

GA By Selipar Jepun Pink yang the bomb..

Giveaway ni memang menarik tertarik mmg the bomb..
ekeke..tak percaya jom tengok blog dia..
Wah..sangat kreatif..
Tak sengaja terjumpa blog dia dan hati tertarik sangat..
nak join GA ni...



Ratu Elizabeth II jadi tumpuan


ABU DHABI - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II mencuri perhatian media negara kelahirannya apabila baginda menutup rambut, memakai kot labuh bersulam kristal Swarovski dan berkaki ayam semasa melawat ruang solat Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi kelmarin.


Sebuah akhbar melaporkan Ratu Elizabeth II yang diiringi suaminya, Putera Philip dan anak ketiga mereka,
Putera Andrew, tiba di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kelmarin bagi melakukan lawatan.
Sebelum melawat ruang solat masjid berkenaan, baginda memberi penghormatan di makam Sheikh Zayed yang merupakan pengasas negara UAE.


Baginda kemudian membuka kasut sebagai tanda menghormati ajaran agama Islam sebelum memasuki ruang solat utama masjid itu.

Lantai ruang solat utama Masjid Sheikh Zayed iaitu masjid terbesar di UAE, dilitupi karpet seberat 35 tan yang ditenun oleh 1,200 wanita Iran selama dua tahun.


Semasa berada dalam Masjid Sheikh Zayed, Ratu Elizabeth II berkesempatan melihat sekumpulan gadis membaca kitab suci al-Quran.


Ratu Elizabeth II mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke UAE dalam usaha untuk merapatkan hubungan negara berkenaan dengan Britain.




.

Peguam Jefri nafi curi RM22j

Putera Jefri Bolkiah
NEW YORK: Seorang wanita dituduh menggunakan wang berjuta dolar milik seorang putera raja daripada jualan hartanah untuk membeli rumah, barang kemas mahal dan memindahkan sejumlah besar wang daripada salah satu akaun milik putera itu ke akaunnya sendiri.
Bagaimanapun, bekas peguam kepada Putera Jefri Bolkiah dari Brunei memberitahu mahkamah, semalam, ia adalah bayaran yang diterimanya untuk sebahagian tugas yang dilakukan dan dia tidak mencuri seperti didakwa putera itu.

Jefri yang mendapat gelaran ‘Putera Playboy’, seorang anggota keluarga diraja antara paling kaya di dunia berkata, Faith Zaman Derbyshire dan suaminya, Thomas Derbyshire menyalahgunakan dana miliknya apabila mencuri AS$7 juta (RM22.4 juta) wangnya. Pasangan itu pula berkata, Jefri berhutang lebih AS$12 juta (RM38.4 juta) untuk bayaran yuran guaman dan mempunyai pengesahan mengenainya.

Jefri, adik bongsu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dikenali dengan gaya hidup mewah. Beliau pernah memiliki lebih 2,000 kereta dan 600 hartanah, menurut Mahkamah Delaware. Sejak sedekad lalu, beliau banyak menghabiskan waktu menentang kerajaan pemerintahan abangnya yang mendakwa Jefri menggelapkan hampir AS$ 16 bilion (RM51.2 bilion) daripada tabung kerajaan Brunei ketika memegang jawatan menteri kewangan, nyaris-nyaris menyebabkan negara di kepulauan Borneo itu muflis. Jefri menafikan tuduhan itu tetapi bersetuju untuk membayar wang kepada dana pelaburan di Brunei pada tahun 2000. Jefri melantik pasangan Derbyshire itu pada 2004 untuk menangani kes pertikaiannya dengan kerajaan Brunei yang menggesa beliau memulangkan semula asetnya. Kedua-duanya adalah peguam yang berpusat di London.

Dalam keterangannya minggu lalu, Jefri memberitahu beliau memberi kuasa penuh kepada pasangan Derbyshire untuk mengendalikan kes dan membantunya menguruskan perniagaannya. Beliau tidak menyedari penipuan dilakukan pasangan itu sehinggalah mereka menggunakan kuasa seperti membeli barang kemas menggunakan kad kredit miliknya.

Jumaat lalu, Faith dengan tenang menjelaskan mengenai beberapa siri transaksi yang dipersoalkan putera itu.

Dia mengambil wang AS$4 juta (RM12.8 juta) hasil jualan ladang milik Jefri di Las Vegas untuk membeli kediaman di Manhattan Beach di California kerana ‘Jefri menyuruhnya menyimpan wang hasil jualan itu untuk bayaran yuran perkhidmatan guaman yang diberikan’. Jumlah yuran perkhidmatan masih dipertikai tetapi kedua-dua pihak berkata, Jefri bersetuju untuk membayar pasangan itu sekurang-kurangnya 2 juta pound (RM10 juta) setahun. Menurut Faith, pemindahan AS$100,000 (RM320,000) daripada salah satu akaun bank milik putera itu sama ada untuk perbelanjaan satu daripada hartanah milik putera itu ataupun sebagai ganti wang pasangan itu yang didahulukan. Faith berkata, mereka mendahulukan AS$500,000 (RM1.6 juta) untuk hartanah terbabit tetapi hanya mengambil balik AS$200,000 (RM640,000). Manakala, dua jam tangan Rolex dan seutas jam Cartier bernilai AS$16,000 (RM51,200) yang dibeli Faith menggunakan wang Jefri bukan untuk mereka tetapi anggota keluarga diraja itu.




 .

Obama didoa neneknya di Mekah supaya peluk Islam



RIYADH - Nenek Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan dia berdoa supaya cucunya itu menganut agama Islam.

Menurut nenek Obama itu, Sarah Omar, doa itu dipohon semasa dia mengerjakan haji di Mekah.

"Saya berdoa agar Obama memeluk agama Islam," kata Sarah Omar yang berusia 88 tahun dalam satu temu ramah bersama akhbar Al-Watan Saudi di Jeddah yang disiarkan kelmarin dan dilaporkan agensi berita AFP semalam.

Akhbar itu melaporkan bahawa Sarah menunaikan haji bersama anaknya yang merupakan bapa saudara Obama, Saeed Hussein Obama serta empat orang lagi cucunya.
Sarah menyatakan dia hanya boleh bercakap mengenai haji dan tidak akan memberi komen berkaitan isu politik Obama.

Keluarga itu dijemput oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah tersebut.
Saeed juga mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah ekoran layanan baik yang diterimanya.

Bapa Obama, Barack Hussein Obama Sr. merupakan penganut Islam dari Nyangoma-Kogel, Kenya ketika berkahwin dengan ibunya, Ann Dunham, seorang pengikut atheis dari Kansas, AS.

Pasangan itu bercerai semasa Obama berusia dua tahun. Ibu Obama kemudian berkahwin dengan Lolo Soetoro dari Indonesia.

Tinjauan pendapat di AS pada Ogos lalu menunjukkan bahawa seorang daripada lima rakyat AS percaya bahawa Obama beragama Islam.
Dakwaan itu dinafikan oleh White House yang menegaskan bahawa Obama ialah seorang penganut Kristian yang taat.




.

Beli telefon bimbit mainan RM300

MOHD. JASMI menunjukkan telefon bimbit mainan yang dibeli pada harga RM300 di Tanah Merah semalam.

TANAH MERAH - Seorang mekanik kerugian RM300 apabila terbeli sebuah telefon bimbit mainan yang menggunakan jenama terkenal daripada seorang lelaki di Kampung Bukit Panau di sini kelmarin.

Menurut mangsa, Mohd. Jasmi Jusuh, 35, pada hari kejadian dia dikunjungi seorang lelaki ketika menjalankan kerja di bengkel di hadapan rumahnya pada pukul 10 pagi.

Katanya, seorang lagi lelaki berada di dalam kereta jenis Nissan Sunny yang diletakkan kira-kira 100 meter dari bengkelnya.
"Lelaki terbabit menawarkan sebuah telefon bimbit berjenama terkenal yang berharga ribuan ringgit di pasaran.

"Dia menawarkan telefon bimbit tersebut dengan harga RM300 sahaja tanpa pengecas bateri dengan alasan memerlukan wang segera," katanya ketika ditemui di sini semalam.




.

Dijel tiga tahun langgar budak

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam menambahkan hukuman penjara terhadap seorang pemandu treler yang didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Salina Saparedi, 7, dalam kemalangan di hadapan sekolahnya lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad mengekalkan denda RM7,000 atau penjara 10 bulan yang diputuskan oleh Majistret Mujib Saroji terhadap tertuduh, Mukiyat Lasiran, 47.

“Hukuman Mahkamah Majistret selama 30 bulan tidak memadai, oleh itu mahkamah mengenepikan keputusan itu dan menetapkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini (semalam) dan denda RM7,000 kekal dan jika tidak bayar, denda penjara 10 bulan dikenakan,” kata Siti Mariah ketika membaca keputusan beliau.




.

Bekas pemain bola fail nusyuz

AMBIL TINDAKAN...Che Zambil (kanan) bersama Hafiz di Mahkamah Syariah, semalam.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Che Zambil Ahmad memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya yang juga pelakon drama bersiri Cinta Antara Benua, Asdayanti Daut di Mahkamah Syariah di sini, semalam.

Che Zambil, 36, yang juga bekas pemain pasukan Kedah mengemukakan permohonan itu selepas mendakwa Asdayanti, 36, enggan mematuhi permohonan perintah kembali taat yang difailkan pada 1 November lalu.

Dia hadir bersama peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan di mahkamah pada jam 3.30 petang dan terus memasuki kaunter mahkamah untuk memfailkan permohonan berkenaan.

Hafiz ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Che Zambil dan isterinya sebelum ini pernah menjalani proses sulh (perbincangan) berhubung masalah rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu menemui jalan buntu kerana Asdayanti didakwa masih ingkar dan sering ke luar negara bersama lelaki lain.

Menurutnya, dalam permohonan semalam, Che Zambil selaku plaintif menamakan Asdayanti sebagai defendan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kali pertama permohonan berkenaan.

Che Zambil mendirikan rumah tangga dengan pelakon berkenaan pada 21 April 1998 di Kubang Pasu, Kedah dan dikurniakan dua anak berusia setahun dan 11 tahun.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!