Sunday, December 19, 2010

Keajaiban 9 bulan


TAHNIAH, anda disahkan hamil,” itulah ayat keramat yang pastinya dinantikan pasangan yang mendirikan rumah tangga terutamanya si isteri.

Bermula daripada saat itu, pelbagai persiapan sama ada di segi luaran mahupun dalaman, dilakukan bagi memastikan anak di dalam kandungan mendapat yang terbaik.

Bermacam-macam petua diamalkan khususnya yang disarankan oleh orang tua-tua yang lebih berpengalaman, termasuk pelbagai pantang larang sepanjang kehamilan.

Namun, seiring dengan perubahan zaman, petua penjagaan kandungan juga melalui fasa baru dan mungkin ada antara petua berkenaan tidak lagi sesuai diamalkan kini.

Minggu awal kehamilan adalah tempoh yang paling penting kerana pada peringkat itu embrio masih lagi belum cukup kuat.

Pakar Obstetrik Klinik The Glasgow Holistic, Dr Low Kok Kwan, berkata emosi si ibu adalah elemen penting sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh mempengaruhi emosi bayi secara langsung.

Ibu mengandung tidak terlepas daripada berdepan sindrom kemurungan yang sering dihadapi wanita yang gagal menangani emosi mereka.

Katanya, kerisauan dan kemurungan yang dialami ibu mengandung memberi kesan kepada saiz bayi dan juga sistem penghadaman bayi berkenaan.

“Kebimbangan atau kemurungan yang lebih serius juga akan memberi kesan buruk kepada bayi dalam kandungan termasuk memendekkan kematangan saluran penghadaman bayi.

“Malah, mereka juga berisiko menghadapi komplikasi ketika melahirkan anak dan memberi kemudaratan jangka panjang kepada anak mereka,” katanya.

Wanita yang mengalami masalah itu dinasihatkan merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor bagi meluahkan sebarang apa yang mengganggu fikiran mereka.

Kesihatan bayi bermula daripada dalam kandungan, jika perkembangan ketika dalam kandungan sempurna maka bayi yang dilahirkan akan mempunyai tahap kesihatan tinggi.

Dr Low berkata wanita mengandung, terutamanya apabila kandungan memasuki usia enam hingga sembilan bulan, akan berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak.

Ketika itu, berat kandungan semakin meningkat dan pastinya membataskan keupayaan si ibu untuk bergerak seperti biasa.

Masalah bengkak kaki atau edema adalah perkara biasa yang dihadapi ibu mengandung, bagaimanapun ia tidak mendatangkan masalah serius. Ia lazimnya dikaitkan dengan saiz anak dalam kandungan yang lebih besar daripada biasa.

“Bagaimanapun, jika bengkak kaki itu disusuli dengan tekanan darah tinggi dan kencing kotor, itu menandakan wanita berkenaan menghidapi toksemia.

“Seandainya berlarutan, keadaan ini boleh mengancam nyawa ibu dan bayi jika rawatan sewajarnya tidak diberikan,” katanya.

Wanita mengandung patut menjalani pemeriksaan tekanan darah dan ujian air kencing secara berkala di klinik.

Selain itu, mereka juga sering mengalami sakit pinggang dan bahagian belakang badan. Keadaan ini berlaku disebabkan kelonggaran ligamen tulang sendi dan juga postur badan yang ‘terlari’ sedikit berikutan beban yang terpaksa dibawa.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi mereka boleh dilegakan dengan rehat secukupnya dan kurangkan berdiri serta jalan buat sementara waktu.

Perkembangan bayi dalam kandungan perlu dipantau dari semasa ke semasa supaya sebarang kecacatan atau masalah pada bayi dapat dikenal pasti pada peringkat awal.

Beliau berkata, pemeriksaan berkala adalah penting untuk meramal, mencegah dan mengesan komplikasi pada ibu dan bayi dalam kandungan.

Malah, sama ada kita sedar ataupun tidak, sebanyak 15 peratus kandungan akan mengalami komplikasi yang memerlukan rawatan dan rundingan doktor.

“Lazimnya, wanita akan membuat pemeriksaan selepas 12 minggu tidak didatangi haid, pengesahan kehamilan perlu dilakukan oleh doktor kerana bukan semua kes tidak datang haid disebabkan mengandung.

“Pemeriksaan pertama ini adalah penting untuk menentukan usia kehamilan dan menganggar tarikh untuk bersalin,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan imbasan bunyi diguna bagi memeriksa keadaan bayi dalam kandungan dan secara tidak langsung dapat mengesan jika ada sebarang kelainan pada kandungan.

Imbasan bunyi adalah teknik pengimejan yang menggunakan gelombang bunyi tinggi dan dengan penggunaan komputer akan menghasilkan imej organ dalam badan.

Pemeriksaan ini dilakukan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kehamilan dan pada minggu yang ke-18. Ia kemudian diulang pada minggu ke-34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.

Sepanjang tempoh kehamilan, pelbagai makanan sampingan diambil ibu mengandung, baik secara tradisional mahupun moden, semata-mata mahu memastikan bayi mendapat yang terbaik.

Dr Low berkata masyarakat Cina sering mengamalkan pengambilan herba yang diyakini dapat memberikan kebaikan kepada si ibu dan anak dalam kandungan.

“Namun, mereka tidak sedar ada antara herba itu tidak sesuai diambil untuk ibu mengandung dan lebih membimbangkan ia memberi kesan negatif kepada bayi.

“Mereka dinasihatkan supaya tidak sewenang- wenangnya mengambil ubatan herba tanpa merujuk dulu kepada doktor kerana dikhuatiri membahayakan kandungan,” katanya.

Beliau berkata penjagaan kandungan bukan hanya di segi kebaikan anak dalam kandungan tetapi turut merangkumi semua aspek, lebih-lebih lagi kesihatan si ibu.




.

Kekasih sulit lebih beruntung


Lelaki didapati sanggup berbelanja secara mewah untuk wanita simpanan atau kekasih sulit mereka pada musim cuti berbanding untuk isteri, kata satu kajian terbaru.

Kajian yang dijalankan agensi AshleyMadison, mendapati lelaki membelanjakan dua kali ganda lebih banyak untuk perempuan simpanan pada musim cuti berbanding perbelanjaan untuk isteri.

“Lelaki penipu membelanjakan AS$60 (RM188) untuk isteri berbanding AS$125 (RM391) bagi wanita simpanan mereka,” lapor kajian itu yang disiarkan akhbar New York Times.

Laporan itu menyatakan hadiah yang paling biasa diberikan suami kepada isteri ialah wangian, produk mandian dan badan, selain kad ucapan.

Bagaimanapun, kekasih biasanya menerima hadiah lebih baik, termasuk barang kemas, pakaian dalam dan rawatan spa.



.

Mangsa 19 tikaman sedar

Buang sel kulit mati Isnin


Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa 19 tikaman dan disimbah asid akan menjalani rawatan membuang sel kulit mati Isnin ini selepas 70 peratus bahagian badan termasuk mukanya melecur teruk. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, berkata keadaan mangsa semakin stabil dan masih perlu menerima rawatan susulan berikutan kecederaan teruk yang dialaminya. “Nur Ain sudah sedar dari komanya dan boleh membuka matanya. Malah, ketika menegurnya, dia memberi maklum balas yang positif dan faham apa yang sedang berlaku ke atasnya.

“Ini satu perkembangan yang baik dan saya berharap dia akan cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Katanya, Pergerakan Wanita UMNO negeri akan sedia membantu Nur Ain apabila sembuh kelak termasuk memberi bantuan kaunseling serta pertolongan lain yang sewajarnya bagi membantu mangsa meneruskan kehidupannya.

“Saya sedih perkara sebegini boleh berlaku. Saya dan ahli Wanita UMNO yang lain berdoa supaya Nur Ain cepat sembuh kerana usianya masih muda dan perjalanannya menuju alam dewasa juga masih jauh.
“Saya juga berharap keluarganya bersabar dalam menghadapi dugaan yang melanda dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya dapat mengharunginya dengan mudah,” katanya.

Sharifah Azizah sebelum itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa bertujuan meringankan beban yang ditanggung mereka.

Akhbar semalam melaporkan Nur Ain yang mengandung enam bulan koma, manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, dekat sini Khamis lalu.

Mangsa diserang seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai akibat menolak cinta lelaki terbabit. Suspek dikatakan mengenali mangsa sejak dia berusia 12 tahun lagi malah, suspek juga dipercayai adalah anak angkat kepada keluarga mangsa.

Mangsa dilaporkan parah selepas ditikam 19 kali kebanyakannya di bahagian perut selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.


P/S - Untuk berita terdahulu [KLIK SINI]


.

Pasangan Razif Juarai 'Mari Menari'


BUKIT JALIL: Malam kemuncak Mari Menari menyaksikan pasangan Razif menepati ramalan apabila dinobat sebagai juara musim pertama program itu yang berlangsung di Studio 1, Astro, di sini, Sabtu.

Kuasa penonton menerusi 100 peratus undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah meletakkan pasangan Razif dan isteri sebagai pemenang dengan 52 peratus.

Sementara pasangan Ariz yang mendapat 48 peratus menyusul di tempat kedua.

Razif yang ditemui pada sidang media program itu berkata, segala kesulitan dan jerih-perih sepanjang 10 minggu persaingan terbayar dengan kemenangan ini.

"Saya ingin berterima kasih pada Astro, koreografer Belalang dan penasihat Lisdawati atas peluang dan bimbingan yang diberikan."Segala kesulitan yang kami hadapi sepanjang berada dalam program ini terbayar dengan kemenangan ini," katanya.

Dua pasangan yang kurang bernasib baik iaitu Zul (19 peratus) dan Fahmi (14 peratus) masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Kesemua finalis menampilkan dua persembahan wajib yang bertemakan hip hop dan kontemporari untuk pusingan awal.

Dua pasangan yang mendapat peratusan tertinggi iaitu Razif dan Ariz mara ke pusingan akhir untuk cabaran tarian bertemakan Latin.

Selain empat pasangan itu, program yang berlangsung selama 10 minggu ini turut menyaksikan persaingan lapan lagi pasangan iaitu Shai, Dita, Masri, Jaya, Jat, Rosdi, Zarin dan Nita.

Kemuncak MM diserikan dengan persembahan pembukaan oleh empat penasihat iaitu Erra Fazira, Lisdawati, Zulhuzaimy dan Ferhad.

Turut memeriahkan acara, penyanyi Indonesia Ahmad Dhani dan bintang AF8 Adira masing-masing tampil dengan lagu Sedang Ingin Bercinta dan Ilusi.

Selaku juara, pasangan Razif membawa pulang sebuah kondominium mewah The Haven di Ipoh, Perak yang bernilai RM350,000 dan percutian ke Bali tajaan Hard Rock Bali.

Kemuncak MM bersiaran secara langsung serentak di Astro Ria (Saluran 104) dan saluran khas definisi tinggi (Saluran 188) pukul 9 malam.




.

Tunda...tunda................


Salamm...selamat malam minggu....

Asal mlm minggu jer, mesti tunggu game..
game bola dan team kechentaan ku..
ngee..besok game besar...

Tapi yang bad newsnya,
game antara Chelsea menentang menyu esok mlm
akan ditunda..
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!