Monday, January 3, 2011

60 rumah tenggelam selepas hujan 5 jam


Lebih 60 rumah di empat kampung sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, dinaiki air setinggi hampir satu meter selepas dilanda hujan lebat selama lima jam sejak pagi tadi.

Hujan yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan air naik dengan cepat menyebabkan penduduk di Kampung Sungai Kechil, Kampung Besar, Simpang Ampat Tasek dan sekitar Jawi tidak dapat menyelamatkan barangan rumah termasuk perkakas elektrik.

Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat, berkata kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut.

"Sehingga kini hanya seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) warga emas ditempatkan di dewan orang ramai dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan segera berupa makanan untuk membantu mangsa," katanya ketika ditemui melawat mangsa di Kampung Nenas, Sungai Kechil, di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan tentang banjir tersebut pada 10.30 pagi ketika paras air sungai berhampiran melimpah dan meningkat dengan cepat.

Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Majid Embi, 52, berkata beliau kerugian daripada segi peralatan rumah yang rosak ditenggelami air.

"Hujan bermula dari pagi namun tak sangka dalam masa dua jam air sudah mula masuk ke dalam rumah sehingga paras pinggang dan kejadian ini saya rasa paling teruk biarpun kawasan ini memang sering dilanda banjir," katanya.
Seorang lagi penduduk Salasiah Din, 55, berkata ketika kejadian beliau keluar bekerja dan pulang selepas dimaklumkan jiran.

"Saya pulang pun sudah tak sempat selamatkan barang, habis semua rosak. Kawasan ini selalu banjir dan ia membebankan penduduk serta menimbulkan beberapa masalah lain antaranya pelbagai penyakit berkaitan air," katanya.

Rashid Ibrahim, 64, pula bersyukur kerana banjir kali ini berlaku pada waktu siang, sekali gus memudahkan mereka menyelamatkan diri.

"Sebelum ini beberapa kali air naik pada waktu malam menyebabkan kami kelam-kabut menyelamatkan diri dan mengemas barang-barang.

"Tapi kami juga sedih kerana ia berlaku ketika hari pertama persekolahan bermula dan ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah," katanya. -



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!