Saturday, January 1, 2011

Anggota mayat dijumpai


Beberapa pekerja Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terkejut selepas menemui anggota badan mayat manusia dari paras pinggang hingga lutut di loji pengolahan kumbahan Taman Pasir Mas, Kajang, dekat sini semalam.

Penemuan anggota badan pada pukul 2.30 petang tersebut kemudian dilaporkan kepada pihak polis sebelum operasi mencari anggota badan lain mayat terbabit dilakukan sejurus selepas itu dan disambung sehingga pukul 5 petang ini.

Hasil usaha yang dijalankan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dan forensik di loji terbabit berjaya menemui tengkorak, separuh lagi badan termasuk tangan dan kaki selain serpihan tulang mangsa secara berasingan.

Pemeriksaan awal ke atas seluar jean dipakai mangsa menemui sebuah dompet yang mengandungi kad pengenalan, wang tunai dan dokumen-dokumen dipercayai miliknya.

Berdasarkan identiti itu, mangsa dipercayai Liew Kuan Mang, 29, dan merupakan lelaki yang dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah, Taman Pasir Mas, Kajang, sejak 7 November lalu.

Menurut jurucakap polis, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini masih belum dipastikan sama ada mangsa dibunuh dan dikerat.
Sementara itu, bapa mangsa, Liew Swee Hen, 66, ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini berkata dia yakin anggota badan ditemui di loji tersebut adalah milik anak lelakinya yang dilaporkan hilang.


"Hati saya sangat sakit. Kenapa anak saya diperlakukan begini. Jumpa mayat sudah tidak berguna, dia telah mati," katanya.

Menurut Swee Hen, anaknya yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin dilaporkan hilang selepas pergi minum di sebuah restoran di Sungai Chua, Kajang, pada hari kejadian.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), anak saya pergi ke tandas tetapi tidak kelihatan keluar dipercayai dilarikan melalui pintu belakang restoran," katanya.

Menurut beliau, sebelum itu, dia dimaklumkan mangsa pergi ke sebuah kelab malam bersama sembilan lagi rakannya dan berlaku pergaduhan antara mereka dan penjaga kelab malam berkenaan.
Ekoran kejadian itu, tiga rakannya yang terbabit dengan pergaduhan pada malam kejadian cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!