Monday, January 10, 2011

Anjing baham lembu


Pemilik ternakan di FELDA Tenang rugi RM80,000

JERTIH: Pemilik ternakan di FELDA Tenang, Hulu Besut dekat sini, mendakwa mengalami kerugian besar apabila lembu ternakan mereka sering diserang anjing liar sejak empat bulan lalu.

Kejadian serangan anjing liar itu didakwa kali kedua berlaku di tanah rancangan itu dalam tempoh berkenaan sehingga menyebabkan peneroka kerugian lebih RM80,000.

Peneroka, Zakaria Mat Nor, 45, berkata sekumpulan 20 anjing liar sering menyerang lembu ternakan yang dilepaskan di tanah rancangan itu dan berpuluh lembu mati akibat cedera diserang anjing.

“Ia kejadian kedua berlaku dalam tempoh empat bulan lalu dan kejadian sama berlaku tahun lalu menyebabkan penternak mengalami kerugian kira-kira RM25,000 apabila lebih 40 lembu dibaham anjing hutan.

“Dalam kejadian terbaru, tiga lembu menjadi korban selepas serangan anjing berkenaan menyebabkan ternakan cedera parah,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar peneroka menternak lembu dan dilepaskan di dalam ladang sawit milik FELDA berkenaan berhampiran hutan simpan Gunung Tebu.

Peneroka percaya anjing liar berkenaan datang daripada hutan simpan berhampiran dan sukar mencari makanan, menyebabkan ia masuk ke kawasan FELDA berkenaan untuk mencari makanan.
"Serangan berlaku pada awal pagi dan petang serta ada kalanya ketika tengah hari. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada lagi kejadian anjing menyerang manusia.

"Masalah ini timbul semula selepas Jabatan Perhilitan membawa keluar perangkap yang dipasang dan keadaan itu meresahkan peneroka terutama membabitkan lembu pawah,” katanya.

Peneroka berharap pihak berkuasa termasuk FELDA dan Jabatan Perhilitan membantu menangani masalah itu bagi mengelak peneroka terus menanggung kerugian lebih besar.

"Kita melaburkan modal yang besar untuk menternak lembu dan apabila berlaku kejadian seperti ini ia memang menyedihkan kerana kami tidak dapat menjual hasil ternakan yang mati dan cedera akibat diserang anjing liar daripada hutan simpan berhampiran.

"Penduduk tidak mampu mengatasi masalah ini sendirian kerana bimbangkan bahaya keselamatan diri. Kami sangat berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.




.

1 Penyokong CHELSEA:

areripe on January 10, 2011 at 4:00 PM said...

ganas gila anjing ni, lembu sekali manusia dia nak bunuh! dah kena virus resident evil ke?

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!