Monday, January 3, 2011

Hilang sabar

DATUK LEE CHONG WEI anggap terlalu banyak faktor dan tekanan yang mengheret kepada peletakan jawatan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.
Sambil menafikan alasan tunggal kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menunaikan permintaan jurulatih itu agar anaknya Misbun Ramdan diletakkan di bawah kendaliannya, Chong Wei, semalam mendedahkan Misbun sebenarnya sudah tidak lagi gembira dengan pelbagai masalah ditimbulkan pihak pengurusan persatuan.

“Bagi saya, masalah ini sudah lama berlarutan. Misbun tidak gembira dengan tindakan seorang pegawai persatuan yang hanya pandai cakap sedangkan tidak tahu apa-apa mengenai sukan,” kata Chong Wei.

“Pegawai itu dan juga persatuan sering memberi tekanan kepada jurulatih dan kami, sebagai pemain. Kami tahu tugas kami perlu hasilkan keputusan terbaik, malah kami sentiasa berusaha ke arah itu dengan berkerja keras. Mereka bagaimanapun menuduh kami, tidak menjalankan tugas.

“Pegawai itu sering meminta laporan jika kami tewas di mana-mana kejohanan. Saya tahu itu tugas mereka, tapi peliknya, mereka tidak pernah minta laporan jika menang. Ini tidak betul, malah persatuan mahupun pegawai itu langsung tidak mengucapkan tahniah kepada kami. Saya sendiri tidak sukakan pegawai itu,” kata Chong Wei yang enggan mendedahkan identiti pegawai itu.

Begitupun, Chong Wei berkata dia menghormati keputusan jurulatihnya itu yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Chong Wei turut mendedahkan dia dan pemain lain yang dilatih legenda badminton itu mengetahui mengenai niat Misbun meletak jawatan selepas tamat latihan, Khamis lalu.

“Selepas latihan, jurulatih (Misbun) menangis sambil beritahu dia sayangkan kami semua. Dia kata akan letak jawatan kerana tidak tahan lagi dengan pegawai itu. Selama ini dia bertahan kerana tahu itu tanggungjawabnya,” kata Chong Wei.

“Saya terhutang budi pada Misbun. Sejak di bawahnya, saya berada di ranking pertama dunia hingga kini. Saya akan teruskan rekod di puncak dunia sebagaimana yang Misbun mahukan.”

Tanpa Misbun, BAM perlu segera mencari pengganti untuk melatih pemain elit, terutama Chong Wei yang menjadi sandaran utama pingat emas Sukan Olimpik 2012 di London.

“Saya harap bila kembali dari Final Siri Super Masters di Taiwan, semua ini sudah selesai. Selepas itu saya harap Misbun dapat hadir ke Stadium Bukit Jalil menyaksikan permainan saya di Terbuka Malaysia, sama ada sebagai jurulatih atau penonton.

“Apapun saya rasa untuk membuatkan Misbun kembali melatih saya amat susah. Saya tidak tahu bagaimana BAM nak pujuk dia,” kata Chong Wei yang menyerahkan tugas mencari pengganti Misbun kepada BAM.

“Siapa jurulatih saya selepas ini saya tidak tahu. Yang penting, saya perlu dapatkan keputusan baik di Olimpik London. Sebelum itu, apapun terjadi saya tidak kisah apa orang nak kata, saya sudah lali.”

Dalam pada itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata peletakan jawatan Misbun berkuat kuasa hari ini. Pihaknya sudah mengedarkan surat peletakan jawatan jurulatih itu kepada semua exco persatuan untuk mendapatkan pandangan.

“Persatuan tidak akan memanggil satu mesyuarat disebabkan hal ini. Kami edarkan surat peletakan jawatan Misbun kepada semua exco sebelum Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh bertemu dengan jurulatih itu sendiri,” kata Kenny.

Pada September lalu, selepas mesyuarat bersama Nadzmi dan Pengarah Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj, tiga jurulatih - Misbun, Rashid Sidek dan Hendrawan - dipanggil semula untuk berbincang dengan James, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai dan Kenny kerana dikatakan tiga jurulatih perseorangan itu bermasalah dengan senarai pemain yang ditetapkan persatuan.

Misbun dikatakan tidak berpuas hati apabila permintaannya melatih Misbun Ramdan dan Iskandar Zulkarnain tidak dibenarkan.

Namun isu sebenar masih tersembunyi kerana Misbun yang dihubungi menghantar pesanan ringkas menerusi telefon bimbitnya berkata belum bersedia membuat sebarang kenyataan.

“Minta maaf, saya tak mahu bercakap sekarang. Mungkin lain kali. Selamat Tahun Baru,” katanya.


Chong Wei ikut Misbun keluar BAM


Selepas dikejutkan dengan keputusan Datuk Misbun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima tamparan terbaru apabila anak emas jurulatih itu, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan akan keluar daripada badan induk itu.

“Saya akan ikut dia. Dalam tempoh dua tahun yang tinggal, sudah tentu sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan sistem dan teknik latihan jurulatih baru. Jadi, saya akan keluar daripada BAM untuk bersamanya,” kata pemain nombor satu dunia itu ketika dihubungi semalam.

Chong Wei berpendapat beliau yang kini berusia 28 tahun hanya mempunyai kira-kira dua tahun lagi untuk berada di puncak bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

Misbun membuat kejutan kelmarin apabila menghantar surat peletakan kepada BAM melalui e-mel tanpa memberi sebarang alasan.

Chong Wei yang menjuarai sembilan kejuaraan, tahun lalu dan akan beraksi pada final Grand Prix (GP) di Taiwan, pada Rabu ini menuntut BAM menyelesaikan kemelut peletakan jawatan jurulatih itu sebelum memburu gelaran kali ketujuh di Terbuka Malaysia yang akan bermula 18 Januari ini.

“Saya tetap mahu Misbun membimbing saya pada Terbuka Malaysia nanti,” katanya yang akan ditemani penolong Misbun, Teh Seu Bock untuk membimbingnya ketika di Taiwan.

Ditanya antara faktor utama Misbun meletak jawatan, Chong Wei tidak menolak kemungkinan disebabkan jurulatih itu memendam perasaan kurang senang dengan keputusan dan tindakan pegawai BAM.
“Bukan saja Misbun, tetapi saya dan pemain lain juga kurang senang dengan pegawai BAM. Mereka tidak menjaga kami dengan baik walaupun saya dan pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong adalah pemain nombor satu dunia.

“Bila kami menang dipuji, tetapi apabila kalah dikeji. Siapa pemain yang mahu kalah dan kami sentiasa berlatih keras untuk mengharumkan nama negara.
Adakah mereka tidak nampak pengorbanan kami selama ini?,” katanya.

Chong Wei berkata, beliau hanya mengetahui Misbun meletak jawatan ketika menghadiri latihan Khamis lalu apabila jurulatih itu memanggil dan memberitahunya serta rakan lain akan meletak jawatan.

“Kami semua terkejut dan sebelum pergi, dia berkata kepada saya dan rakan lain bahawa dia menyayangi kami semua dan meminta kami jaga diri sambil mengalirkan air mata,” katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Makbed on January 3, 2011 at 2:40 PM said...

Bagus nye Datuk Lee Chong Wei ini... Mengenang jasa gurunya. Touching lak baca.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!