Friday, January 7, 2011

Kena belasah curi kabel


2 pemuda panjat tiang dikepung

KOTA BHARU: Dua pemuda berusia 20-an menerima padah apabila dibelasah penduduk ketika mencuri kabel telefon di Kampung Mantera, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang cedera di muka, siku dan kaki terpaksa menerima rawatan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Seorang lagi rakan suspek dapat meloloskan diri sebaik menyedari perbuatan mereka dihidu penduduk.

Penduduk, Shafei Ismail, berkata perbuatan tiga lelaki terbabit disedari seorang warga tua yang melalui kawasan berkenaan.

Katanya, ketika itu, dua pemuda dilihat sedang memanjat tiang telefon, manakala seorang lagi rakannya menunggu di dalam kereta sambil mengawasi kawasan sekitar.

“Sebaik melihat gelagat mencurigakan itu, penduduk yang memandu kereta menghubungi penduduk kampung untuk meninjau kegiatan tiga pemuda berkenaan.

“Selepas berpuas hati dan yakin ketiga-tiga mereka terbabit mencuri kabel, penduduk kemudian mengepung dan menahan dua daripada pencuri terbabit, manakala seorang lagi melarikan diri menggunakan kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Buat masa sekarang kedua-dua suspek yang ditahan menerima rawatan di HUSM kerana mengalami kecederaan dan lebam,” katanya



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!