Thursday, January 20, 2011

Maut motosikal terbabas

SEBAK...anak mangsa, Khairul Anuar (tidak berbaju) dan Fatin Nasuha sebak di sisi jenazah bapa mereka.
Gambar kecil, Hasim.
SEREMBAN: Seorang pemandu lori terbunuh selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Lingkaran Tengah berhampiran Kampung Datuk Mansor, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Hasim Hassan, 59, yang menunggang motosikal Suzuki TXR 150 maut di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.
Menurutnya, berdasarkan kepada siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa gagal mengawal motosikal ditunggangnya menyebabkannya terbabas dan terbalik.

“Mangsa yang terjatuh mati kerana parah di kepala dan kejadian dipercayai tidak membabitkan kenderaan lain.

“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai melihat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila seorang anak perempuan mangsa yang bergegas ke tempat kejadian meratapi kematian bapanya.

Wanita dikenali sebagai Fatin Nasuha itu dilihat pengsan dan terpaksa dipapah orang ramai yang turut berada di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Ahmad Khairi Roslan di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Amy Wong on January 20, 2011 at 9:49 AM said...

aduhai. sadisnya keadaan macam tu :(

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!