Wednesday, January 5, 2011

Maut tak sempat diami rumah baru


Seorang wanita tidak sempat mendiami rumah baru bersama keluarganya apabila maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, semalam.
Mangsa, seorang jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, Che Esah Che Noh, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan, kira-kira jam 9 pagi.

Ibu anak tiga berusia antara tiga hingga lapan tahun berasal dari Kampung Pondok Terusan, Pasir Tumboh sebelum itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang.
Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan dipercayai bergesel dengan sebuah kereta merah lalu terjatuh atas jalan sebelum kakinya dilanggar sebuah treler yang turut melalui jalan terbabit.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Saksi kejadian, Faridah Rahim, 44, yang berniaga di kedai makan berhampiran tempat kejadian berkata, dia melihat mangsa melambung sebelum terbaring di tengah jalan.

Katanya, dia tidak mendengar bunyi kuat dari arah tempat kejadian dan keadaan jalan ketika itu tidak sibuk.

“Saya melihat mangsa melambung dan tidak nampak bagaimana kejadian itu berlaku. Saya kemudian hanya ternampak sebuah treler melintas dan mangsa sudah terbaring atas jalan,” katanya.

Sepupu mangsa, Ropiah Mohamad, 43, berkata dia difahamkan, arwah mahu ke bank mengeluarkan wang selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Katanya, dia tahu arwah sekeluarga menunggu masa untuk berpindah ke rumah baru di kampung sama.

“Rumah barunya itu hanya tinggal untuk dipasang jeriji besi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Osman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pemandu kereta yang dipercayai bergesel dengan motosikal mangsa tidak memberhentikan kenderaannya dan belum membuat aduan.

“Berikutan itu, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi cawangan trafik Kota Bharu di talian 09-7752229 bagi membantu siasatan,” katanya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!