Mayat seorang wanita hampir reput ditemui dalam semak berhampiran dusun durian di Berapit, kira-kira empat kilometer dari jalan besar, di sini hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, penemuan itu dimaklumkan oleh orang awam.
Katanya, anggota dari JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang datang ke lokasi menemui mayat mangsa, kira-kira 15 meter dari pondok milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.
Menurutnya, pihaknya turut menemui kesan darah di dalam pondok berkenaan.
"Hasil pemeriksaan menemui mangsa berusia 30-an dan berketurunan Cina itu tertiarap dalam keadaan bogel.
"Melihat keadaan mayat yang mula reput, kita percaya dia dibunuh seminggu lalu sebelum mayatnya dicampakkan ke kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Zahruddin menambah, tiada sebarang identiti atau pakaian ditemui di sekitar kawasan itu dan menyukarkan pihak polis membuat pengecaman.
Polis juga, katanya, sedang menyiasat motif pembunuhan dan meminta individu yang hilang ahli keluarga sejak seminggu lalu tampil membuat pengecaman.
"Mereka boleh menghubungi Ketua JSJ SPT Asisten Supritendan S. Subramaniam di talian 019-6351119 untuk maklumat lanjut.
"Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment