Lebih 20 penduduk terpaksa melalui saat-saat cemas berasak-asak mencari laluan keluar yang dilitupi asap tebal apabila lima rumah kedai berhampiran kediaman mereka di Lebuh Pantai di sini terbakar awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kelima-lima premis tersebut yang menempatkan sebuah kedai makanan, alat perkakasan, bekas gudang simpanan alat memancing dan kedai kasut itu musnah terbakar.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penduduk berjaya menyelamatkan diri walaupun pada awalnya mereka panik kerana bimbang kediaman mereka turut dijilat api.
Seorang penghuni yang ingin dikenali sebagai Lim memberitahu, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah kedai tidak berpenghuni terletak kira-kira satu meter dari rumah jirannya.
"Setelah melihat api semakin marak dan tidak boleh dikawal, kami semua berlari menyelamatkan diri termasuk membawa keluar tong gas dan peralatan lain yang berbahaya.
"Mujurlah api yang marak itu tidak merebak ke rumah-rumah berdekatan dan berjaya dipadamkan sebaik bomba datang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, struktur rumah kedai yang diperbuat daripada kayu selain cuaca kering dan berangin menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal.
Menurutnya, 15 jentera bomba dari sekitar pusat bandar raya dan Seberang Jaya dengan 163 anggota termasuk bomba sukarela dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan daripada orang awam.
"Bomba berjaya mengawal api dalam masa sejam dan tindakan pantas itu berjaya menyelamatkan beberapa rumah lain yang berada bersebelahan kedai dari turut terbakar.
"Setakat ini, kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment