Friday, January 7, 2011

Tak sempat bahagi hasil rompakan


Hasrat sekumpulan empat penjenayah membahagikan hasil kegiatan pecah rumah tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka cedera ditembak, dua ditahan dan seorang lagi melarikan diri selepas disergah sepasukan anggota polis di Jalan Tiku di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, penjenayah terbabit dikatakan baru saja memecah masuk sebuah rumah di Batu 6, Jalan Apas di sini, dan melarikan barangan seperti peti sejuk, televisyen dan pakaian menggunakan sebuah Proton Iswara Aeroback.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan awam tidak mengambil masa lama untuk mengesan kenderaan dinaiki penjenayah yang sarat dengan barangan hasil rompakan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, sepasukan anggota polis berpakaian preman yang dihantar ke lokasi kejadian terserempak dengan sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan dan polis bertindak mengejarnya.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri, anggota polis berkenaan memberi arahan supaya pemandu memberhentikan keretanya, namun lelaki berkenaan enggan dan terus memecut sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan amaran dan mengejar mereka.

Omar berkata, sebaik tiba di Jalan Tiku, kereta yang dinaiki suspek tiba-tiba membuat pusingan dan cuba merempuh kenderaan yang dinaiki anggota polis terbabit.

“Bagaimanapun, kereta yang dinaiki penjenayah terbabit berjaya dipintas dan sebaik berhenti, mereka keluar dari kenderaan dan menyerang polis dengan menggunakan pedang samurai dan pisau rambo.

“Tindakan agresif penjenayah terbabit menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan mempertahankan diri dan mengenai paha kanan seorang suspek. Dua lagi rakannya berjaya diberkas manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!