Tuesday, January 11, 2011

Terpaksa berniaga di ruang legar


Pengusaha baru kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John di sini, terpaksa beroperasi di ruang legar berhampiran gelanggang bola keranjang berikutan tindakan pengusaha lama meneruskan operasi di kantin sekolah berkenaan.

SMK St John yang mempunyai dua kantin kini menjadi buah mulut warga sekolah berkenaan kerana isu yang nampak mudah itu semakin rumit untuk diselesaikan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan.

Tinjauan mendapati, ‘kantin segera’ yang mendapat kelulusan tender Disember lalu, menerima sambutan pelajar dan guru kerana menyediakan masakan panas dan segar, manakala operator kantin lama yang sudah tamat kontrak Oktober lalu pula masih menggunakan kemudahan memasak di kantin asal.

Pengusaha baru, Fatimah Kasim, 53, berkata dia terpaksa mengangkut makanan dan minuman dari kantin syarikat telekomunikasi di luar sekolah itu yang juga dikendalikan olehnya.

“Susahlah macam ini. Kena masak di tempat lain dan diangkut ke sekolah beberapa kali,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Pengetua SMK St John, Lim Hean Hwa, berkata pengusaha lama sudah memfailkan semakan mahkamah untuk menghalang pihak sekolah memintanya meninggalkan premis berkenaan.

Katanya, beliau enggan mengulas panjang untuk mengelakkan daripada menjadi lebih rumit berikutan tindakan mahkamah.
Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan sudah mengadakan mesyuarat minggu lalu dan akan melantik peguam untuk mendapatkan perintah meminta pengusaha lama meninggalkan premis kantin.

Sumber PIBG berkata, seorang wakil ibu bapa akan memfailkan tindakan mahkamah itu bagi pihak pelajar dan guru.

Katanya, Jabatan Pelajaran sudah memaklumkan isu berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta perkara itu diselesaikan secepat mungkin.




P/S - Boleh juga jadi macam tu eh?



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!