Wednesday, February 2, 2011

Apa kata hati


PENYERANG Sepanyol, Fernando Torres percaya dia akhirnya boleh memenuhi impiannya untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas melengkapkan perpindahan ke Chelsea dari Liverpool.

Pemain berusia 26 tahun itu - yang memenangi trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 bersama pasukan kebangsaan negaranya - melengkapkan penghijrahan ke Stamford Bridge dengan kontrak lima setengah tahun sekali gus mencatat rekod perpindahan British sebaik sebelum pintu perpindahan ditutup dan kini dia berbangga memanggil dirinya sebagai seorang pemain Chelsea.

"Ia sebuah pasukan yang saya suka untuk bertemu mereka. Ia sebuah pasukan yang saya mahu bermain bersama mereka," katanya kepada Chelsea TV.
"Memang selalu sukar untuk bermain menentang Chelsea - satu daripada kelab gergasi di Eropah, sering bertarung untuk merebut setiap kejuaraan disertai mereka.

"Inilah sasaran bagi setiap pemain bola sepak - cuba untuk bermain bagi sebuah kelab ternama di dunia dan saya boleh melakukannya sekarang. Saya amat, teramat gembira. Adalah menjadi impian saya untuk memenangi Liga Juara-Juara dan saya pasti saya boleh, bermain buat Chelsea. Saya fikir semua rakan sepasukan berkongsi impian sama dengan saya dan harapnya kami boleh."

Torres juga ghairah dengan kesempatan untuk menguji dirinya di samping Didier Drogba dan Nicolas Anelka, menganggap penyerang Ivory Coast itu sebagai "penyerang terbaik di dunia".

Bekas peledak Atletico Madrid itu berkata: "Saya peminat utama semua penyerang Chelsea. Ketika saya remaja saya masih ingat Anelka bermain buat Arsenal. Tentunya Drogba antara penyerang terbaik di dunia. Ia satu tanggungjawab besar buat saya bermain di samping mereka kerana mereka memiliki tahap yang amat tinggi."
Perpindahan itu hanya dimuktamadkan petang kelmarin - tiga hari selepas kelab Anfield itu menolak permintaan pemain itu supaya dia berpindah dan dia boleh diturunkan bagi pertemuan menentang Liverpool, Ahad ini.

"Saya terlalu gembira dan berbangga untuk berada di sini, akhirnya, selepas hari-hari sukar yang ditempuhi," katanya. "Akhirnya saya boleh berkata saya seorang pemain Chelsea dan saya amat, amat gembira."
Torres mengakui adalah tidak mudah meninggalkan Liverpool tetapi dia yakin membuat keputusan yang tepat.

"Saya melalui dua, tiga, empat hari-hari yang amat menyukarkan buat saya terutamanya apa yang saya tinggalkan di Liverpool tapi kini saya boleh berkata saya seorang pemain Chelsea," katanya.

"Saya terlalu gembira dan saya pasti melakukan langkah besar dalam karier saya, menyertai kelab seperti Chelsea.

"Saya hanya mahu berada di tahap yang sepatutnya. Ia sebuah kelab hebat dengan tanggungjawab yang hebat. Saya bersedia untuk berdepan cabaran seterusnya."
Torres tidak sabar untuk digandingkan semula dengan bekas rakan sepasukannya di Liverpool dan rakan karibnya, Yossi Benayoun di Stamford Bridge.

"Dia amat bimbang mengenai setiap perkara yang berlaku dua atau tiga hari lalu, dan saya kini amat gembira untuk bermain bersamanya sekali lagi," katanya.
"Harapnya dia akan kembali (daripada kecederaan) secepat mungkin.

"Adalah bagus mendapat seorang pemain sepertinya. Saya mempunyai hubungan baik dengan Yossi dalam dan luar padang. Adalah hebat buat saya untuk menyertai pasukan yang sama dengannya sekali lagi, di sebuah kelab besar seperti Chelsea. Saya tahu semua bekas rakan sepasukan merinduinya - dia seorang lelaki yang baik dan hebat."



.

1 Penyokong CHELSEA:

Dinaz on February 2, 2011 at 3:59 PM said...

Yeah! Chelsea...aku baru berminat dgn sukan bola sepak...dah beli kasut futsal n nak beraksi tak lama lagi..satu permulaan yang baik di tahun 2011 bagi Dinaz...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!