JIWA seorang wanita pastinya begitu tersentuh saat zuriat pertama hasil perkongsian hidup bersama insan dikasihi selamat dilahirkan dengan sempurna.
Debaran ketika menahan kesakitan terus lenyap sebaik sahaja tangisan cahaya mata milik pasangan Nurul Hana Che Mahazan atau lebih dikenali dengan panggilan Nana dan suami tercinta, Mohd. Raqeem Brian memecah kesunyian wad bersalin Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 21 Oktober tahun lepas.
Lantas, titisan air mata membasahi pipi pasangan yang mula mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2009 itu di kediaman keluarga Nana di Persiaran Bahagia, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor.
Ketika itu masing-masing terpandang sesama sendiri bagaikan tidak percaya sudah bergelar seorang ayah dan ibu serta perlu memikul tanggungjawab membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang.
“Susah untuk gambarkan perasaan waktu itu, Nana rasa sayu, sebak dan gembira. Barulah dapat tahu betapa hebatnya ibu yang telah berjaya melahirkan kita ke dunia,” jelas Nana.
Dengan nada sungguh gembira apabila diminta untuk menceritakan kemanisan hidup apabila diserikan dengan kehadiran orang baru, pasangan itu telah sepakat memberikan nama yang ringkas untuk cahaya mata mereka.
Jadi dengan persetujuan bersama, anak sulung mereka yang dilahirkan seberat 2.71 kilogram (kg) itu telah diberikan nama Althea.
“Kami memang bercadang untuk dapatkan nama yang ringkas tetapi manis apabila disebut. Althea merupakan perkataan dalam bahasa Greek yang memberi makna amat sempurna,” beritahunya lagi.
Menatang minyak penuh
Seperti yang diketahui, lagak Nana sememangnya seperti seorang wanita agak kasar sebelum ini. Bagaimanapun, ia tidak bermakna penyampai radio XFM itu tidak mampu mengendalikan hal penjagaan anaknya yang kini berusia empat bulan secara sendirian.
Akuinya, suatu ketika dahulu dia pastinya kekok apabila diminta untuk mendukung bayi yang baru sahaja dilahirkan.
“Saya tidak akan pegang bayi yang baru lahir, kononnya struktur tulang mereka masih belum kuat,” ujarnya sambil tergelak kecil.
Namun, segala-galanya telah berubah sebaik sahaja kemunculan Althea. Nana, 28, secara perlahan-lahan mampu menepis perasaan takut bahkan telah menjaga bayi comelnya itu secara bersendirian.
“Kalau Brian kerja, saya akan duduk di rumah dengan Althea. Awalnya rasa janggal tetapi saya bernasib baik kerana suami sangat ringan tulang untuk membantu,” tuturnya dengan menyifatkan Brian seorang suami yang cukup bijak menjaga anak.
Selepas dua minggu berpantang, dia mula mengambil alih tanggungjawab menjaga Althea sepenuhnya memandangkan ibunya, Rosnah Harun, 50, terpaksa pulang ke kampung.
Langsung tidak terdetik perasaan cemas kerana perlu mengendalikan urusan itu.
Sebaliknya, sikap aktif yang menebal dalam dirinya membuatkan Nana sedikit pun tidak berasa pengalaman berpantang sendirian membebankan hidup.
“Hari kelima Nana dah boleh berlari, naik dan turun tangga. Memang ibu bising, tetapi Nana tidak boleh duduk diam,” ungkapnya ringkas.
Lebih teruja buat peserta Akademi Fantasia musim pertama itu ialah tatkala mampu menimba momen manis memandikan Althea.
Sungguhpun, tidak begitu mahir, Nana tidak akan membiarkan individu lain melakukan tugas tersebut selagi dia mampu menyempurnakannya.
Kegembiraan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata setiap kali menggalas tugas mempersiapkan diri anak tercinta dengan kerahan tenaga sendiri.
Berdasarkan apa yang dikongsikan oleh Nana, dia seolah-olah terlalu memanjakan Althea. Secara jujur, dia akui Brian merupakan seorang ayah yang lebih mementingkan ketegasan dalam membesarkan Althea.
“Saya rasa setiap pasangan perlu ada keseimbangan untuk mendidik dan membentuk anak. Bila saya perhatikan, Brian mungkin menjadi bapa yang mengutamakan disiplin kerana setiap kali Althea menangis dia akan minta saya biarkan dahulu.
“Jangan terus tepuk atau dukung. Tetapi saya lain pula kesian tengok dia menangis,” ceritanya yang bercadang menyusukan Althea sehingga usianya mencecah enam bulan.
Tiada pembantu rumah
Alam bujang, berumah tangga dan seorang ibu merupakan pengalaman cukup berlainan. Ketiga-tiganya mempunyai cara pengendalian tersendiri supaya tugas hakiki tidak mudah terabai.
Rutin terbaru yang perlu dipikul oleh Nana dan suami perlu disambut dengan senyuman meskipun terpaksa melupakan kegiatan melepak dan membeli-belah bersama teman-teman.
Keutamaan yang bermain difikiran pasangan terbabit ialah melunaskan tanggungjawab terhadap kerjaya masing-masing.
Di samping itu, perlu berkejar ke rumah untuk bermesra bersama Althea yang buat masa kini dijaga oleh ibu Nana.
“Saya tidak ada pembantu rumah sebaliknya emak yang jaga Althea. Tetapi bila habis waktu kerja memang saya akan ambil alih tugas ibu.
“Jadi ibu boleh berehat dan giliran saya pula untuk melayan kerenah anak,” selorohnya.
Rancak bercerita, Nana menyifatkan dia cukup bertuah kerana cahaya matanya itu tidak sering meragam. Meskipun pada waktu malam, Althea hanya akan terjaga sebanyak dua kali untuk meminum susu.
“Mudah jaga Althea, empat jam sekali dia akan bangun untuk menyusu dan sambung tidur,” jelasnya.
Jaga badan
Lupakan seketika perihal rutin harian, Nana yang tidak keberatan memberikan laman blog peribadinya iaitu nana-ker.blogspot.com untuk tatapan gambar-gambar terkini.
Seronok perhatikan gambar telatah Althea yang dimuatkan di dalam blog itu tetapi terkejut dan sekali gus kagum juga dengan bentuk badan yang dimiliki oleh Nana.
Meskipun baru sahaja melahirkan anak, Nana tetap mengekalkan sosok tubuhnya yang langsing. Apabila ditanya, mungkinkah Nana mempunyai sebarang petua, secara spontan dia langsung tidak mengamalkan diet.
“Nana jenis yang kena makan nasi. Jadi istilah diet atau jaga pemakanan memang tidak ada. Berat Nana waktu mengandung 62kg dan sekarang 53kg.
“Mungkin Nana menyusu dan jaga Althea, itu menyebabkan berat senang turun,” jelasnya.
Sementara itu, daripada segi perkembangan kerjaya pula, Nana menjelaskan, dia masih aktif sebagai penyampai radio di XFM yang ke udara pada pukul 10 pagi hingga 3 petang.
Pengalaman tujuh tahun bergelumang dengan dunia penyampai radio tidak pernah dirasakan sesuatu yang membosankan.
Malahan semakin lama berada di industri itu akan lebih banyak berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dalam memuaskan hati pendengar.
“Kemunculan di radio XFM banyak membantu Nana terutama dalam pemilihan lagu dan topik yang bersesuaian dengan pendengar muda,” tambah Nana.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment