Sunday, February 27, 2011

Takut dipecat..


Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti meramalkan dia mungkin akan dipecat sekiranya gagal membantu skuad The Blues memenangi trofi Liga Juara-Juara musim ini.
Ancelotti kini dikritik hebat berikutan kegagalan Chelsea mempertahankan kejuaraan berganda mereka yang dicatat pada tahun pertamanya di Stamford Bridge.
Hanya Jose Mourinho saja pengurus yang tidak dipecat oleh Roman Abramovich meskipun gagal menjuarai gelaran liga domestik tersebut, namun The Special One itu kemudian meletak jawatan sebulan selepas kempen baru liga bermula kerana kurang persefahaman dengan Abramovich.
Ancelotti dilihat sudah hampir gagal dalam misi utamanya untuk menjuarai gelaran Liga Perdana England tetapi masih berpeluang menyelamatkan dirinya selepas Chelsea menang 2-0 ke atas kelab Denmark, FC Copenhagen pada aksi pertama Liga Juara-Juara.
"Saya hanya fikirkan tentang Liga Juara-Juara dan sekurang-kurangnya tempat keempat dalam Liga Perdana England.
"Hanya itu saja nasihat saya kepada pemain iaitu fikirkan tentang final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley. Saya sedang berusaha keras untuk merealisasikannya," kata Ancelotti.
Bekas jurulatih AC Milan itu kini dikaitkan dengan kelab AS Roma selepas tempat Claudio Ranieri yang meletak jawatan minggu lepas digantikan oleh Vincenzo Montella.
Begitupun, pengurus berusia 51 tahun itu menegaskan walaupun dia memang berhajat untuk kembali semula ke negaranya, namun dia tidak merancang untuk melakukannya dalam masa terdekat.
"Saya masih mahu kekal di mana saya berada sekarang. Di sini semuanya sangat bagus. Saya rasa masih ada banyak kejayaan yang perlu saya capai di England.
"Saya masih lagi orang Itali tetapi saya amat menghargai England. Saya akan kembali semula ke Itali, tetapi bilakah masanya saya sendiri tidak tahu.
"Apa pun, saya ucapkan selamat berjaya kepada Montella."
.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!