Wednesday, March 2, 2011

Cubaan gagal


Cubaan dua warga Indonesia menyeludup masuk 200 ekor tupai bernilai RM64,200 ke negara ini gagal selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan kira-kira empat batu nautika dari timur perairan Tanjung Penyusup, Pengerang hari ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, bot Petir 50 bersama lima pegawai dan anggota sedang melakukan rondaan di kawasan perairan tersebut sebelum terserempak dengan bot penumpang yang dinaiki oleh kedua-dua lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran pasukan keselamatan berkenaan, bot tersebut kemudian cuba melarikan diri ke arah perairan Indonesia, namun akhirnya berjaya dipintas dan ditahan oleh bot laju Maritim Malaysia.
Zulkifli berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 200 ekor tupai jenis 'Sugar Glider' yang dikurung dalam sembilan sangkar yang dibalut dengan guni.

"Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua tupai tersebut dibawa dari Batam, Indonesia untuk diseludup masuk ke negara ini melalui perairan Pengerang.
"Haiwan itu mungkin untuk dijual kepada seseorang sebelum dieksport semula ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata, dua warga Indonesia yang berusia 44 dan 36 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan manakala haiwan yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya.
Tupai jenis 'Sugar Glider' berasal dari kepulauan Papua New Guinea dan Australia itu mendapat sambutan menggalakkan dari negara-negara di Asia untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana dipercayai membawa tuah.

Nilai seekor tupai tersebut juga dikatakan boleh mencecah RM200 hingga RM350 kerana memiliki bentuk rupa yang cantik, katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Import dan Eksport di bawah Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006).



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!