Seorang warga emas yang tinggal sebatang kara menjalani kehidupan yang amat daif dengan berteduh di sebuah pondok usang di dalam hutan berdekatan Kampung Gongter, Batu 6, Jalan Changkat Jong dekat sini.
Lebih memilukan, lelaki berketurunan Cina yang dikenali sebagai Ah Fat, 59, itu menjadikan buah kelapa sawit dari ladang kelapa sawit di belakang pondoknya sebagai makanan harian untuk meneruskan hidup.
Ini kerana, dia tidak bekerja dan sudah tentu tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
Di pondok itu juga tiada bekalan air apatah lagi bekalan elektrik, namun mujur ada anak sungai berhampiran yang boleh digunakan untuk mandi dan minum.
Menurut Ah Fat yang belum berkahwin, sebelum ini dia tinggal bersama ibu bapanya di pondok itu tetapi mereka sudah lama meninggal dunia.
“Selepas kematian mereka, saya tinggal seorang diri di pondok ini dan tidak pernah keluar dari kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Ah Fat, sepanjang tinggal di pondok itu, tiada siapa pernah datang menghulurkan bantuan kepadanya.
“Saya tidak pernah menerima apa-apa bantuan pun dan tiada orang datang melawat saya. Mungkin kerana rumah saya ini terletak sangat jauh dari penempatan penduduk,” katanya yang kurus kering.
Ah Fat ditemui di pondok itu oleh seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Anwar Arshad, 52, yang secara kebetulan membuat rondaan di kawasan berkenaan.
“Saya tidak sanggup melihat ada lagi manusia yang hidup begini pada zaman ini. Pondoknya terlalu uzur seperti kandang kambing dan terletak di dalam hutan. Ia juga terletak di pedalaman. Kami perlu meredah beberapa buah kebun serta hutan dan anak sungai untuk sampai ke sini,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berharap ada pihak yang sanggup membantu Ah Fat kerana bimbang keselamatannya yang tinggal sebatang kara di dalam hutan.
“Jika dia sakit dan demam, tiada siapa tahu ada seorang manusia tinggal di dalam hutan ini,” katanya.
.
3 Penyokong CHELSEA:
x sangka ada lagi orang macam ni kat malaysia kan...sedangkan orang asli pun da maju...
dalam susah hidup kita, kene sedar
ade lagi orang yang lebih susah dari kita
bersyukurlah dengan apa yang ada
itulah, kdg-kdg kita sibuk menderma dengan negara luar..tanpa kita sedari, dalam negara pun ada yang hidup merempat...hidup susah..
Post a Comment