“Luluh hati saya sebaik melihat anak sulong terbujur kaku di tanah. Malah, hampir pitam apabila mendapati dia tidak bernyawa,” kata Mohd Marzuki Muda, 44, bapa Muhammad Naqiuddin, 11, yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika bermain bola di kawasan permainan di Taman Perumahan Batu 3, Shah Alam, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa terkena arus elektrik voltan tinggi pada sebatang tiang lampu yang dipercayai mengalami masalah teknikal sejak beberapa bulan lalu di kawasan padang permainan berkenaan.
Malah, sebulan lalu seorang kanak-kanak dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika terpegang tiang itu, namun tidak mengalami kemalangan jiwa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Marzuki berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan-rakan anaknya sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menceritakan kejadian itu, Marzuki berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mengambil kayu untuk menjauhkan anaknya dari kawasan tiang lampu itu sebelum mendapati wajah Naqiuddin seperti terbakar.
“Selepas yakin tiada arus elektrik pada tubuhnya, saya mengusap dahi Naqiuddin sebelum mendapati seluruh tubuhnya panas.
“Biarpun pemeriksaan saya mendapati Naqiuddin tidak bernyawa, saya tidak putus-putus mendoakan keselamatannya dan berharap dia dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.
Menurutnya, dia dengan bantuan penduduk sekitar membawa anak sulungnya ke hospital swasta berhampiran kawasan berkenaan.
“Doktor mengesahkan Naqiuddin sudah meninggal dunia apabila arus elektrik memberi kesan kepada jantungnya. Atas arahan doktor, Naqiuddin dipindahkan ke PPUM untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian itu, anak ketiganya, Mohd Idzuddin, 4, berperangai pelik seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila sering merengek untuk pulang ke kampungnya di Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu.
“Saya tidak menyangka rengekan itu menandakan kehilangannya,” katanya.
Menurutnya, anaknya yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 itu sentiasa taat kepadanya dan isteri, Ros Zakaria, 30-an.
“Sebelum Naquiddin keluar rumah, dia meminta kebenaran bermain di padang, malah sempat menunaikan solat Zuhur dan Asar,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Muhammad Naquiddin akan dikebumikan di Jerteh, Terengganu hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
Katanya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian kerana renjatan elektrik.
Menurutnya, pihaknya sehingga kini menanti laporan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masih menyiasat punca kemalangan itu.
.
1 Penyokong CHELSEA:
adui..takut je baca...xkan nak kurung je ank dalam rumah duduk depan mata kita je kan.kesian pulak..ajal di mana2 je kan.. alfatihah
Post a Comment