Saturday, April 23, 2011

‘ditidurkan’ 48 jam dengan ubat bius


Pelakon Benjy yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara kelmarin kerana serangan asma diberi ubat bius dan alat bantuan pernafasan bagi meredakan penyakitnya itu.
Menurut ibu pelakon itu, Azean Irdawaty, doktor menggunakan bius bagi ‘menidurkan’ Benjy, 33, sejak 37 jam lalu dan sekali gus beliau menafikan berita mengatakan anaknya koma selepas diberi ubat tersebut.

“Saya kesal dengan laporan akhbar semalam yang mengatakan anak saya itu koma. Sebenarnya, doktor memberi ubat bius bagi ‘menidurkan’ dia. Pada masa sama Benjy juga mendapat alat bantuan pernafasan, nebulizer.

“Ubat bius itu akan habis fungsinya dalam masa 48 jam. Sewaktu ‘tidur’, ia akan meredakan otot-ototnya. Selepas 48 jam kalau tidak berkesan juga, kami akan ikhtiar cara lain,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ekoran itu, Benjy atau Khaeryl Benjamin Ibrahim yang menghadapi tuduhan memiliki dadah tidak hadir ke Mahkamah Majistret di sini semalam dan memberi kebenaran peguambela, Amer Hamzah Arshad meneruskan perbicaraannya.

Jelas Azean yang juga pelakon popular tanah air, ini bukan kali pertama Benjy dimasukkan ke hospital, sebaliknya pernah lebih lima kali mendapat rawatan asma sewaktu ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar baru-baru ini.

“Sepanjang ditahan di pusat itu, tidak kurang lima kali Benjy mendapat rawatan di hospital kerana asma. Malah, pada 14 April lalu, dia juga mendapat rawatan penyakit yang sama di Hospital Kuantan sebelum di masukkan ke ICU semalam.

“Biarpun tidur kerana ubat bius itu, tetapi Benjy memberi tindak balas apabila saya berbisik ke telinganya. Dia seperti mendengar dan adakalanya menitiskan air mata mungkin kerana tersentuh dengan apa yang saya perkatakan,” katanya.

Benjy kini dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Segambut, di sini pada pukul 4 petang 11 Mac tahun lalu serta memiliki 0.14 gram dadah itu di No. C-13-6 Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Kepong pukul 3 petang hari yang sama.

Perbicaraan akan disambung pada 11 Mei depan.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!