Sunday, April 24, 2011

Jom Sambung Belajar


Walaupun sibuk dengan promosi filem terbaru arahan dan terbitannya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tetap menerima tawaran menyambung pelajaran dalam peringkat PhD industri, yang ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Idham telah menyerahkan borang kemasukan kepada Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di Sintok, baru-baru ini.
Dengan penerimaan kemasukan ke sesi pembelajaran terbabit, Ahmad Idham, selaku penerbit, pengarah dan pelakon dijangka akan bergelar Doktor dalam tempoh minimum dua tahun lagi.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, inisiatif beliau untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD merupakan usahanya untuk mempertingkatkan industri perfileman tempatan.

“Akademik merupakan minat saya semenjak dahulu, bila mengetahui UUM ada menawarkan program PhD Industri, ianya merupakan satu peluang yang harus direbut,” kata Idham.
“Saya berharap pemindahan kejayaan dalam industri perfileman tempatan ke dalam medium dan konteks akademik bakal menjana perspektif baru dalam menjayakan agenda membawa industri perfileman tempatan ke persada global.

“Saya juga berharap ianya menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan inovasi dalam memastikan usaha Kerajaan untuk menjadikan pembangunan ekonomi berteraskan inovasi dapat dicapai dengan jayanya,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai permohonan Ahmad Idham yang memilih untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan, Mohamed Mustafa berkata, ia akan memberikan input terbaik buat universiti juga industri perfileman tempatan.

PhD Industri memberi tumpuan kepada para profesional dan pengamal industri dalam menghasilkan inovasi dan meningkatkan daya saing melalui penyelidikan berasaskan industri untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan antara pengamal industri dan ahli akademik dalam melahirkan profesional yang berpengetahuan tinggi.

Kursus PhD Industri ini mempunyai tempoh minimum selama dua tahun bagi setiap pelajar untuk melengkapkan pengajian mereka dibawah seliaan seorang penyelia yang dilantik oleh universiti.

“Ahmad Idham akan menghasilkan tesis PhD yang berasaskan bidang perfileman tempatan, terutamanya berkaitan permasalahan, cabaran juga bagaimana mengatasi halangan terbabit, dalam memastikan industri ini mampu berdaya saing dengan industri filem serantau dan global.

“Selain itu, dengan penghasilan tesis itu juga mampu dijadikan bahan rujuk dan kajian kes untuk pelopor-pelopor industri yang lain, selain membantu penggubal dasar dalam membantu untuk mempertingkatkan industri perfileman tempatan, “ ujar Mohamed Mustafa.

Sementara Penyelaras Program Akademik Khas Selebriti, Universiti Utara Malaysia, Mohd Idzwan Yacob berkata, pemilihan Ahmad Idham, merupakan satu bentuk pemindahan kejayaannya dalam industri perfileman tempatan ke medium akademik yang mampu menjana pemikiran penuntut.

Selain itu, Universiti Utara Malaysia juga turut menawarkan pengajian peringkat pra siswazah kepada selebriti tanahair di dalam bidang komunikasi, yang dijalankan di Universiti Utara Malaysia, cawangan Kuala Lumpur.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!