Kira-kira 15 tahun lalu, nyawa Mat Rajab Hamat yang bekerja sebagai penebang balak hampir melayang dihempap pokok, namun terselamat. Bagaimanapun, kejadian hampir sama berulang kelmarin, tetapi kali ini ia meragut nyawanya.
Kejadian itu berlaku jam 11.30 pagi di kawasan hutan Lawin Utara dekat sini, iaitu empat hari selepas beliau berpindah bekerja ke kawasan berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Kampung Padang Kunyit di sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Grik (HG).
Isterinya, Sharifah Hashim, 42, berkata suaminya kelihatan kurang bersemangat ketika keluar bekerja menaiki Toyota Hilux milik majikan bersama lapan rakan lain jam 6.40 pagi.
“Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, seorang rakan sekerja, Tajol Roslan meminta suami saya pulang selepas arwah mengadu tidak sedap hati selain asyik bercerita mengenai kematian anak saudaranya di Felda Bersia.
“Ketika melakukan kerja, rakannya memaklumkan pokok ditebang suami saya condong ke arahnya. Walaupun suami sempat mengelak ke sebelah kanan, dahan balak yang besar menghempap tubuhnya menyebabkan arwah tersungkur lalu cedera di kepala dan patah paha.
“Selepas kejadian itu, rakan-rakannya cuba membawa keluar arwah dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi suami meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Padang di sini, semalam.
Sharifah berkata, insiden kali ini yang kedua suami dihempap pokok selepas kejadian pertama 15 tahun lalu yang hampir meragut nyawanya sejak arwah menjadi penebang balak pada usia 19 tahun.
“Saya reda dengan kejadian ini kerana ia takdir Ilahi,” katanya.
Sharifah berkata, suaminya seorang pendiam tetapi terlalu mengambil berat mengenai tujuh anak mereka berusia dua hingga 18 tahun, terutama pelajaran mereka.
“Sejak sebulan ini, hampir setiap hari arwah berpesan supaya semua anak kami termasuk Maisarah, 16, yang baru memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka supaya belajar bersungguh-sungguh dan pandai menjaga diri.
“Sehari sebelum kejadian, suami juga menyerahkan wang RM1,000 kepada bapa tiri saya, Yaakub Samat, 76, untuk dikumpul bagi membeli tanah,” katanya.
Sementara itu, Maisarah berkata, bapanya ada menghubunginya jam 11.15 pagi kelmarin dan berjanji akan menghubunginya semula 15 minit kemudian.
“Saya menunggu panggilan ayah sehingga tengah hari dan tidak menduga ketika itu dia sudah ditimpa kemalangan,” katanya.
Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang di sini, jam 6 petang kelmarin.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment