Saturday, April 30, 2011

Parah kena rempuh


Walaupun mengalami pendarahan dalaman pada paru-paru akibat dirempuh kereta pengedar dadah malam kelmarin, Konstabel Rohayu Samlan, 24, tetap bersemangat untuk meneruskan tugas yang diminatinya sejak kecil.

Malah, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang masih belum mendirikan rumah tangga itu tidak menyesal menyertai pasukan keselamatan terbabit tiga tahun lalu kerana menyedari sebarang kecelakaan yang menimpa adalah risiko yang perlu dihadapi.

Ibunya, Sarimah Yaacob, 45, yang setia menemani anggota polis itu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), berkata dia amat berbangga kerana kejadian menimpa Rohayu berlaku ketika anaknya menjalankan tugas murni mencegah pengedaran dadah yang merosakkan masyarakat.

“Dia memberitahu tidak sedikit pun menyesal, malah langsung tidak menjejaskan minatnya sebagai anggota polis,” katanya selepas menerima lawatan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh ke HTJS, semalam.

Sementara itu, Osman berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Rohayu bersama lima rakan setugas terserempak sebuah Proton Satria dalam keadaan mencurigakan di Taman Bukit Mas, di sini sebelum mengenal pasti pemandunya pengedar dadah yang kini dikehendaki polis kerana beberapa kesalahan lain.

Sebaik polis memperkenalkan diri, suspek yang enggan keluar daripada kereta tiba-tiba membuat pusingan dengan agresif menyebabkan Rohayu yang berada berhampiran dirempuh hingga tercampak beberapa meter sebelum sekali lagi dirempuh selepas terjatuh di belakang kereta itu hingga terperosok di bawah bonet.
Suspek dikenal pasti Tan Kok Fui, 44, yang melarikan diri daripada hukuman buang negeri di Kuantan, Pahang, kemudian melarikan diri manakala Rohayu mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan perut selain luka serta lebam di beberapa bahagian badan dikejarkan ke HTJS.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 06-6033222 atau 06-7682389.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!