BERCAKAP tentang artis yang seorang ini, seolah-olah tiada sebarang cerita baik pernah dicatatkan. Yang ada cuma cerita negatif menambah buruk keadaan seterusnya meletakkan dia dalam kancah kebencian peminat.
Bukan sekali dia ‘terkena’. Banyak kali juga hatinya tercalar disebabkan perkara tersebut. Lantaran itu, dia menjadikan kerja-kerja seni sebagai keutamaan kedua. Tambahan pula urusan pengajian kolej dan rutin harian lain menyebabkan dia perlu berdiam diri seketika.
Dalam pada itu, cerita buruk dan label kurang baik masih kedengaran. Dilabel artis bermasalah, orang jahat, penagih dadah, seksi terlampau dan pelbagai lagi tanggapan negatif ditelan bulat-bulat.
‘‘Bohonglah kalau saya tak terasa apabila orang bercakap perkara buruk tentang saya. Bila saya dikaitkan dengan ikon negatif. Buat saya cukup tertekan membawa nama Zarina Anjoulie Lavocah ke sana dan ke mari.
‘‘Bahkan, keadaan semakin buruk apabila saya berterusan dilabel sebegitu. Jadi sepanjang tempoh enam tahun saya berada dalam industri ini terus memendam rasa,’’ bicara awal Zarina memutik rasa kesalnya.
Sebagai manusia biasa, pelakon filem Mimpi Moon ini juga tidak terlepas melakukan kesilapan. Namun kekesalan itu sering dianggap tak serius di kalangan masyarakat. Malah ada yang mengatakan Zarina ini pandai bermain wayang.
Sebab itu, dia sering menjadi bahan umpatan dan bualan atas kesilapan yang pernah dilakukan. Apabila segala kesalahan masa sekarang dikait dengan perbuatan lampau.
‘‘Saya akui memang tak ada kuasa untuk menahan orang dari bercerita tentang saya. Kalau mereka tak suka, saya tak akan menghalang. Tapi janganlah sampai maruah saya dipijak sesuka hati. Apatah lagi melibatkan nama keluarga,’’ sesal Zarina lagi.
Ditanya adakah wanita yang menginjak usia 24 tahun ini sudah puas larut dalam populariti, segera dia menafikan.
Hujahnya, dia tahu bahawa kemasyhuran tak membawa seseorang artis itu ke mana-mana. Tidak mendatangkan sebarang hasil dan bersifat sementara.
‘‘Saya tahu agak sukar untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap insan seperti saya. Tapi saya tak mudah kalah. Saya tetap akan terus berjuang. Saya mahu buktikan bahawa artis muda seperti saya ada wawasan sendiri.
“Sebab kebanyakan artis muda sekarang banyak melebihkan publisiti. Mentaliti ini perlu diubah kerana kecantikan dan popular tak berkekalan.
‘‘Saya mahu cemerlang dalam akademik. Sekarang ini saya dalam usaha untuk mendapatkan A-Level dalam undang-undang usai pengajian dalam bidang penyiaran tahun ini.
‘‘Saya tahu masa depan dalam dunia lakonan ini tak lama. Saya sudah merancang masa depan saya. Insya-Allah semua berlancar lancar,’’ terang anak kepada pemilik Untie Ainis Kampung Cafe di Nilai, Negeri Sembilan ini.
Perang dengan Faezah Elai?
Mengulas tentang status Facebook Zarina berbau sindiran terhadap individu bernama Faezah Elai, pelakon drama muzikal Kampus ini berulang kali mengatakan tiada komen.
Ungkapan tersebut ialah: Oh by way FAEZAH ELAI, I got voted 5 top sexiest n most beautiful woman in malaysia n of course no1 would n my kakak fasha, did u..well bottom line is u didn‘t even make it to d top 10.. So take that. Wit all d jobs uve been gettin people still don‘t think ur all that anyway. Till u make 2 d list n get 2 me in FHM then we‘ll talk. Ur still now where near me. Ur a joke by d way.
Mengulas lanjut Zarina berkata: ‘‘Jujurnya saya enggan mengulas tentang perkara ini, letihlah dengan permainan media. Selalu sangat manipulasi cerita.
‘‘Apabila keluar saja cerita tentang saya, semuanya cerita buruk. Diputar belit sewenang-wenangnya. Lari sungguh daripada fakta sebenar,’’ katanya bersungguh-sungguh, enggan mengulas.
Bercerita lanjut tentang persamaan nama Faezah Elai dengan nama dramatis Faezah Elai, wanita ini punya alasan sendiri.
‘‘Dalam dunia ini, mungkin ada nama yang sama dengan nama individu yang dimaksudkan (dalam status). Tapi saya tetap enggan mengulas tentang perkara ini,’’ tegasnya.
Ditanya kenapa Zarina menyalahkan media dalam mengkhabarkan perkara tidak baik tentang dirinya, wanita ini punya sebab tersendiri.
‘‘Minta maaf sebenarnya saya sudah hilang kepercayaan kepada media. Adakah anda boleh menuduh saya kerana berasa begitu? Selepas segala peristiwa yang berlaku mengapa saya perlu jadi bodoh untuk jatuh kepada ‘perangkap’ media,’’ katanya dalam nada cukup geram.
Media seolah-olah menghentam belakangnya tanpa memberi peluang kepadanya dengan cara yang lebih adil.
‘‘Saya tahu media ada kuasa untuk mempercayai setiap peristiwa yang dilaporkan.
‘‘Sebab itu, saya bersikap lebih optimis kali ini, tak mahu dipergunakan lagi. Saya hanya akan menjawab seandainya perlu. Itu pengajaran yang saya dapati setelah beberapa kali terperangkap.
‘‘Peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku sebenarnya menjahanamkan karier saya. Cukuplah!,” bicara akhirnya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
die yg jahanamkan hdup die sndiri tu xsedar,ishh,.emo!,.ahaha,.
Post a Comment