SEWAKTU ditanya tentang impiannya selepas menginjak usia 26 tahun pada 17 Mac lalu, tanpa berfikir panjang Pierre Andre memberitahu dia mahu segera mendirikan rumah tangga.
Ternyata dia begitu teruja saat diajak berbicara lanjut tentang soal perkahwinan sementelah Pierre merasakan dia kini sudah cukup matang untuk bergelar seorang suami dan bapa.
Menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya yang merupakan seorang kerabat diraja selama tiga tahun, Pierre memberitahu dia kini berada di dalam fasa untuk mengenali hati budi belahan jiwanya itu dengan lebih mendalam.
“Kami mula kenal antara satu sama lain selepas diperkenalkan oleh salah seorang kawan kami. Semuanya bermula sebagai sahabat dan lama-kelamaan, hubungan itu mula melangkah ke fasa seterusnya.
“Saya beruntung apabila mendapat seorang wanita yang bagi saya cukup hebat sepertinya. Dia tidak pernah menjadikan status dan latar belakangnya sebagai halangan dalam percintaan kami.
“Apa yang membuatkan saya kagum dengannya adalah sifat rendah diri yang dimilikinya dan memandangkan usia saya pun sudah 26 tahun, saya fikir ia adalah waktu terbaik untuk saya berkahwin,” kata Pierre dalam nada teruja dengan wajah yang berseri-seri.
Aktor muda yang mula membintangi filem Potret Mistik pada tahun 2005 itu ditemui ketika penggambaran filem terbaru arahannya, Aku Kau dan Dia di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pada penggambaran yang turut dihadiri penerbit filem berkenaan, Gayatri Su-Lin Pillai itu, Pierre telah diberi kejutan istimewa apabila krew produksi menghadiahkan dua biji kek kepadanya sempena hari lahirnya.
Menyambung bicara, Pierre enggan mendedahkan identiti wanita yang telah bertakhta di hatinya itu. Namun, apa yang boleh dikongsi Pierre apabila dia memberitahu kekasihnya itu hanyalah insan biasa dan berkhidmat dalam dunia perbankan.
Diusik adakah ibunya, seniwati Khatijah Tan sudah bersedia menerima menantu sulung, Pierre hanya ketawa.
“Dia (Khatijah Tan) sudah pun beri lampu hijau untuk saya berkahwin disebabkan usia saya sudah pun mencecah 26 tahun. Dia mahu memastikan saya benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga.
“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kami akan berkahwin tahun depan seperti mana yang dirancangkan,” ujar Pierre yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu lagi.
Walaupun sudah mendirikan rumah tangga kelak, Pierre atau nama sebenarnya Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre tetap akan meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon dan pengarah.
Dalam masa yang sama, dia juga kini mula mengatur langkahnya demi perancangan masa depannya selepas bergelar suami nanti.
“Saya teringin untuk membuka syarikat produksi sendiri dan membikin filem serta melakukan bisnes lain. Malah, saya juga berminat untuk membuka perniagaan francais sebagai persediaan seandainya saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam dunia seni,” jelasnya yang cukup popular dengan watak Reza menerusi filem dan drama rantaian Gol & Gincu ini penuh bersungguh.
.
2 Penyokong CHELSEA:
igt sis lulu yg nak kawin tadi~tajuk gempak je..hihi :P
LULU da di tag...http://eimah2328.blogspot.com/2011/04/giveaway-from-moscow-by-miszlullaby.html
Post a Comment