Monday, May 23, 2011

Ditemui mati dengan kesan tikaman, tetakan


Seorang penoreh getah ditemui mati dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa bahagian badan di rumahnya di Taman Muhibbah, dekat sini pagi ini.
S. Gajamugan, 34, yang juga adik ipar Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R. Ganesan, ditemui terbaring dan berlumuran darah di dalam bilik kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azman Salim berkata, mayat mangsa ditemui isterinya, V. Kasturi, 36, yang baru pulang bermalam di rumah bapanya tidak jauh dari perumahan tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa tidak dirompak kerana tiada kehilangan barangan dilaporkan.
"Semasa isterinya pulang ke rumah, didapati pintu hadapan terbuka dan mangsa dilihat terbaring dengan keadaan berlumuran darah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata yang digunakan oleh suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman berkata, pihaknya sedang menyiasat motif pembunuhan tersebut dan percaya kejadian itu berlaku antara pukul 2 hingga 9 pagi.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!