Friday, May 27, 2011

Kanak-kanak maut dilanggar lori ketika melintas jalan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh sebuah lori ketika melintas jalan di Kilometer 133.8, Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin, semalam.
Murid tahun satu itu, Muhammad Nur Ikwan Amirul Hakim Md. Nor meninggal dunia di Klinik Kesihatan
Rompin akibat cedera parah di kepala dan kaki kanan.

Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Supritendan Mohd. Najid Jusoh berkata, kejadian pukul 5.10 petang itu berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melintas dari kiri ke kanan jalan.
"Pemandu lori berusia 41 tahun yang berasal dari Mersing, Johor itu cuba membrek dan mengelak tetapi tidak sempat menyebabkan ia merempuh kanak-kanak itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini hari ini.

Berikutan itu, kata Mohd. Najid, pemandu lori jenis Hicom itu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Rompin untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang ketika menerima rawatan," katanya.
Kata Mohd. Najib, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!