Wednesday, June 1, 2011

Berbaloi lupakan anak?


SEBELUM ini, Salma pernah memberitahu bahawa dia akan membuat pengumuman tentang status sebenarnya selepas heboh diperkatakan bahawa dia merupakan seorang ibu tunggal dengan seorang cahaya mata perempuan.

Pernah diasak dengan persoalan itu oleh pihak media yang mahu mendapatkan kepastian daripadanya, namun, Salma lebih selesa memberikan jawapan selamat.

"Apabila sampai waktu yang sesuai, saya akan mengumumkannya. Saya melakukan demikian kerana mempunyai sebab tersendiri," kata Salma tidak berapa lama dulu.

Ternyata Salma mengotakan janjinya apabila tanpa selindung lagi, anak kelahiran Tawau, Sabah itu meleraikan segala kekusutan yang bersarang selama ini.

"Apa yang anda dengar sebelum ini adalah benar. Ya, saya seorang ibu kepada seorang anak perempuan, Puteri Nurul Huda yang sudah pun berusia hampir empat tahun.

"Bukan mahu berselindung tentang status saya tetapi saya lebih selesa untuk orang memperkatakan tentang penglibatan saya dalam Mentor 5.

"Saya juga sanggup 'melupakan' anak saya selama tiga bulan kerana saya mahu fokus dengan persembahan. Saya tidak mahu kalau asyik teringatkan anak mutu kerja saya tidak mencapai kepuasan untuk diri saya mahupun mentor saya, Erra Fazira," jelas Salma panjang lebar berhubung isu statusnya itu.

Penyanyi bersuara lantang itu menjawab segala soalan yang diajukan dengan penuh tenang pada sidang akhbar usai konsert akhir Mentor 5 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, malam Ahad lalu.

Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis mendirikan rumah tangga pada usianya 17 tahun dengan seorang jejaka dari kampung halamannya di Tawau, Sabah.

Namun, jodoh mereka tidak lama apabila hanya mampu bertahan kira-kira setahun sahaja selepas Salma dikurniakan dengan cahaya mata.

Untuk mengulas lanjut tentang kisah rumah tangganya itu, dengan penuh berhemah, wanita berusia 21 tahun itu enggan membuka cerita.

"Apa yang berlaku pada masa silam saya itu sudah lama saya simpan dalam lipatan sejarah. Tidak ada gunanya untuk saya kenang kerana masing-masing pun sudah membawa haluan sendiri.

"Tumpuan saya sekarang adalah untuk meneruskan karier saya sebagai seorang penyanyi kerana peluang ini sudah lama saya nantikan. Alhamdulillah, Allah SWT sudah makbulkan," katanya dalam nada syukur.

Seperti yang dijangka, Salma menepati ramalan ramai apabila menjuarai Mentor 5 dan membawa pulang hadiah yang cukup lumayan berupa wang tunai RM100,000, sebuah kereta Chevrolet Cruze berserta trofi.

Sementara itu, Erra Fazira pula menerima habuan berupa wang tunai RM100,000 atas hasil usahanya sebagai mentor.

Mengenai wang kemenangannya itu, Salma memberitahu dia mahu menunaikan hajat dan impian keluarganya dengan membawa mereka pergi bercuti yang tidak pernah dinikmati sebelum ini.

Dalam masa yang sama juga, penyanyi bersuara lantang itu mengharapkan peluang untuk merakamkan album yang telah lama menjadi dambaannya selama ini.

"Saya mahu mencuba pelbagai jenis lagu tetapi biarlah secara perlahan-lahan," kata Salma yang berkemungkinan besar akan bernaung di bawah pengurusan Erra.

Pada malam konsert itu, Salma telah memukau audiens dengan lagu Listen dendangan asal Beyonce Knowles serta berduet dengan Jaclyn Victor menerusi medley lagu Cinta dan Rindu.

Salma turut mendendangkan sebuah lagu baru berjudul Aku Permata ciptaan sepenuhnya Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussain.

Sementara itu, Erra yang ditemui pula berkata, dia cukup gembira dengan persembahan Salma pada konsert akhir itu walaupun berada di kedudukan tercorot sewaktu separuh akhir.

Namun, Erra dan Salma bingkas bangkit dan mengatur strategi terbaik bagi memastikan persembahan Salma pada malam kemuncak mampu meninggalkan impak besar.

Ternyata, percaturan kedua-dua mereka membuahkan hasil yang cukup lumayan dengan 85 markah yang diperolehi daripada gabungan markah juri profesional, juri awam dan undian SMS.

"Inilah yang saya kata rahmat di sebalik duka selepas apa yang kami lalui sewaktu separuh akhir. Alhamdulillah, kejayaan ini bukan hanya untuk saya seorang tetapi juga pasukan yang banyak membantu.

"Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di sisi Salma seandainya dia memerlukan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar di masa depan," kata Erra yang cukup anggun mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini pada malam itu.




.

3 Penyokong CHELSEA:

Budak Botak on June 1, 2011 at 7:25 PM said...

Suami dia x gila talak ke? he3. Mesti menyesal bercerai dulu...

Entry terbaru -> Katya Koren Direjam Sampai Mati Kerana Berpakaian Seksi... (",)

aLeesYa's Mummy on June 2, 2011 at 9:22 AM said...

Congrats Salma..mmg suara dia best..

the triplets on June 2, 2011 at 11:03 AM said...

syabas salma...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!