Sunday, June 12, 2011

Ditikam kerana bising

Seorang lelaki yang hilang sabar dengan bunyi bising anak jirannya, mengamuk dan bertindak menikam tiga beradik dengan senjata tajam mengakibatkan salah seorang daripadanya maut akibat cedera parah.

Dalam kejadian di Flat MPS Karamunting Jalan Batu Sapi, dekat sini pukul 2 petang semalam itu, Ahmad Khir Hadari Awang, 6, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent.

Abang mangsa, Mohd Fadley Syarie Awang, 12, dan Nur Salinah Sahira, 10, masih lagi dirawat di wad berasingan di hospital sama.

Semasa kejadian, Ahmad Khir Hadari bersama kakak dan abangnya serta beberapa ahli keluarga lain sedang berada di dalam rumah mereka di tingkat dua flat berkenaan.

Menurut saksi, seorang lelaki yang tinggal di tingkat satu flat sama tiba-tiba menyerbu masuk rumah itu sebelum bertindak menikam tiga beradik tersebut.

Nur Salinah yang cedera sempat berlari keluar bagi meminta pertolongan daripada orang ramai manakala suspek berusia 20-an pula melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan berdekatan.

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bapa mangsa, Awang Ahmad yang juga bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia berkata, ketika kejadian dia berada di pejabatnya di bandar dan isterinya pula menyelesaikan urusan keluarga.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menduga kejadian tragis itu akan berlaku kepada ahli keluarganya hanya kerana perkara kecil tersebut.

“Saya kini sedang mengurus jenazah anak saya untuk dibawa pulang dan dikebumikan,” katanya.




.

1 Penyokong CHELSEA:

1 on June 12, 2011 at 11:34 AM said...

na'uzubillah..emosi mendahului akal..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!