Sunday, June 12, 2011

Enam rumah dipukul ribut


Enam buah rumah mengalami kerosakan pada bumbung sementara sebuah kereta rosak teruk akibat dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di dua buah kampung di sini semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang yang melibatkan Kampung Temenin Lama dan Kampung Temenin Baru tetapi tiada kecederaan serius dilaporkan.

Salah seorang penduduk Kampung Temenin Baru, Norlela Tik, 41, berkata, ketika kejadian terdapat 15 ahli keluarganya termasuk dari sebelah iparnya sedang leka berbual di ruang tamu.
“Hujan luar biasa dan deruan angin kencang membuatkan saya rasa kurang senang. Tidak lama kemudian terdengar rekahan kuat dan apabila saya keluar, pokok manggis sebesar pemeluk kira-kira tiga meter dari rumah tumbang mengenai beranda rumah dan kereta milik ipar saya,” katanya ketika ditemui.

Iparnya, Zaini Atan, 47, berkata, keretanya itu baru dibeli kira-kira enam bulan lalu dan dia melihat dengan jelas bagaimana bumbung bahagian beranda rumah diterbangkan angin sebelum pokok manggis itu tumbang.
“Melihatkan keadaan itu saya terus berlari meredah hujan sambil menjerit ke arah (penghuni) rumah supaya berjaga-jaga bagi menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kejadian berlaku hanya setakat itu malah semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki, yang datang melawat rumah mangsa sebaik sahaja dimaklumkan kejadian itu, berharap mereka yang terlibat agar bersabar menerima dugaan itu.
Beliau meminta semua mangsa yang terlibat supaya mendaftar dan melaporkan kejadian kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan bantuan.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Nini D.. on June 12, 2011 at 1:11 PM said...

kesian diaorg..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!