Penduduk di Taman Lingkaran Nur, Jalan Lingkaran Nur 1/5, Kajang di sini gempar apabila menemui tengkorak dan tulang manusia dibuang di tepi jalan hari ini.
Tengkorak dan seketul tulang dipercayai bahagian kaki bersama cebisan kain itu ditemui penduduk yang melalui jalan tersebut pada pukul 12 tengah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, tengkorak dan tulang itu masing-masing ditemui di kiri dan kanan jalan yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari rumah penduduk.
Beliau berkata, polis yang dimaklumkan kes tersebut segera pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui sebuah motosikal jenis Honda yang sudah dileraikan di dalam gaung kira-kira 20 meter dari tempat tengkorak dan tulang ditemui.
"Anggota polis forensik yang menjalankan siasatan percaya tulang dan tengkorak yang ditemui itu adalah milik individu berusia lingkungan belasan tahun.
"Ia disyaki dibawa ke kawasan tersebut oleh anjing liar dan mangsa sudah lama mati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ab. Rashid berkata, polis sedang menyiasat kaitan bangkai motosikal yang ditemui dengan mangsa dan sama ada kes tersebut mempunyai unsur jenayah.
Difahamkan, semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal ditemui itu sama dengan motosikal milik oleh seorang lelaki beralamat di Sri Gombak tetapi tidak pernah dilaporkan hilang.
Sehubungan itu, Ab. Rashid meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat tentang kes tersebut supaya menghubungi Rakan Cop Selangor di talian 03- 20529999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment