Wednesday, August 10, 2011

‘Belajar rajin-rajin, jaga adik’


“Mak pesan belajar rajin-rajin, jaga adik baik-baik. Saya tidak sangka itu pesanan terakhirnya,” ujar Serry Priska Saari.
Serry, 15, salah seorang daripada dua penduduk yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli, Sungai Ruil Brinchang, berkata, pesanan itu disampaikan ibunya, Sara Gunung, 37, beberapa hari sebelum kejadian yang meragut tujuh nyawa penduduk kampung termasuk ibunya.

Dalam kejadian yang turut mengorbankan neneknya, Normadiah Lasik, 69, dan ibu saudara, Norma Gunung, 51, Serry yang patah kaki kanan dan terseliuh tangan kiri itu berjaya dikeluarkan daripada tanah runtuhan bersama seorang lagi mangsa, Bah Anjang Besar Alang, 39.
Menurutnya, semasa kejadian dia sedang mandi manakala ibu dan neneknya berada di ruang tamu dan bilik tidur.

“Saya tidak sedar apa yang berlaku. Apa yang saya ingat semasa sedang mandi saya terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan suara menjerit meminta tolong.

“Saya cuba untuk lari tapi pandangan tiba-tiba gelap dan apabila sedar saya sudah berada di hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.
Ketika ditanya tentang kelainan sikap ibunya sebelum hari kejadian, Serry berkata, wanita itu berkeadaan seperti biasa namun sering marah-marah walaupun atas kesalahan kecil.

“Dia selalu marah-marah tetapi masih sempat berpesan untuk belajar rajin-rajin. Saya pelik tetapi hanya menganggap itu pesanan biasa dan tidak sangka ia merupakan nasihat terakhirnya untuk saya,” katanya.
Ditanya sama ada dia masih mahu pulang ke perkampungan tersebut, dengan pantas Serry menggeleng dan mengatakan tidak mahu lagi pulang ke sana.

“Saya takut dan saya tidak mahu lagi tinggal di sana. Melihat tempat itu pun saya tidak mahu.
“Mak, makcik dan nenek semua maut dalam kejadian itu dan saya masih tidak percaya mereka tiada. Saya sangat sayangkan mereka,” katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on August 10, 2011 at 11:14 AM said...

mudah2an si anak ini membesar dengan kejayaan membawa amanat dari ibunyaa..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!