Saturday, August 20, 2011

Buat persiapan awal


DALAM menanti kehadiran Syawal yang bakal disambut 10 hari lagi, pasti ramai di kalangan kita yang mula kelam kabut untuk membuat persiapan terakhir bagi menyambut tibanya hari lebaran.
Lantas, sudah pasti gedung-gedung tekstil dan pusat membeli-belah kini menjadi pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan persalinan sempena Syawal nanti.

Malah keriangan tatkala dihadiahkan pakaian baru pasti sukar disembunyikan oleh si kecil yang begitu teruja untuk menyambut hari raya.
Justeru itu, baru-baru ini, penulis berpeluang mengikut dramatis dan ibu tunggal, Arbaiyah Abdul Manan, 34, atau lebih dikenali Abby Abadi berkunjung ke Jusco, Wangsa Maju, Kuala Lumpur bersama dengan tiga orang permata hatinya.

Kegembiraan dan keseronokan jelas terpancar pada wajah ketiga-tiga anak Abby iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, yang bebas menjelajah ke segenap bahagian kanak-kanak mencari baju yang berkenan di hati mereka.
Bagaikan orang dewasa, ketiga-tiga cahaya mata Abby itu dengan sendirinya mencapai dan memilih baju yang mereka idamkan.

“Begitulah mereka, kadang-kadang naik letih melayan telatah mereka yang suka ke sana dan ke mari mencari apa yang diingini.
“Bayangkanlah tiga orang, seorang ke sana, seorang ke sini, sampai tidak larat untuk saya mengejar mereka.
“Sebab itulah selalunya kalau mahu membawa mereka keluar, saya akan pastikan ada yang menemani seperti ibu, ayah atau abang saya,” jelasnya.

Selain itu, dalam leka melayan kerenah anak-anaknya, Abby sempat bercerita tentang persiapan rayanya.
Katanya, menyediakan pakaian raya untuk anak-anaknya adalah satu kewajipan yang harus di lakukan setiap tahun.
Baginya, keutamaannya dalam menyambut hari lebaran adalah untuk melihat anak-anaknya gembira dan seronok.

“Bila sudah ada anak-anak, merekalah keutamaan yang perlu didahulukan dalam membuat persiapan raya.
“Biarlah mereka gembira dan seronok menyambut hari raya, sebagai ibu sudah tentu kita gembira apabila melihat anak-anak tersenyum riang,” ujar aktres yang sinonim dengan watak Inspektor Aleeza dalam drama bersiri Gerak Khas itu.
Meneruskan bicaranya, Abby dengan ramah memberitahu, bahawa dia selalunya akan membuat persiapan awal dalam membelikan persalinan baru untuk anak-anaknya sempena hari raya.

“Saya selalu membuat persediaan awal dengan membeli semua keperluan terutamanya pakaian untuk anak-anak terlebih dahulu.
“Malah ada kalanya sebelum puasa lagi saya sudah mula membeli baju raya anak-anak.
“Lagipun, bagi saya membuat persiapan awal lebih baik kerana di saat akhir pasti ramai yang berpusu-pusu di pusat membeli-belah.

“Namun biasanya di hujung-hujung Ramadan ini, saya biasanya hanya membeli apa yang tertinggal seperti kasut, songkok dan sampin untuk abang (panggilan untuk anak sulungnya),” jelas Abby lagi.
Kongsi Abby lagi, dalam menyambut hari raya, dia gemar menggunakan tema warna untuk digayakan bersama dengan anak-anaknya.
Baginya dengan cara itu, ia dapat merapat dan mengeratkan lagi pertalian keluarga antara dia dan anak-anaknya.

Selain itu apabila menyentuh mengenai fesyen, Abby tidak menafikan anak-anaknya sudah pandai bergaya biar pun masih lagi hijau dalam meniti kehidupan.
Kata Abby, anak-anaknya terutama kedua-dua puterinya pandai berfesyen.

“Tengok sahaja kecil, tetapi selera mereka dah macam orang dewasa dan cita rasa mereka ini kadangkala mengalahkan kita.
“Macam Baby (panggilan untuk anak bongsunya) dia suka sangat kasut tumit tinggi sehingga inginkan kasut itu sebagai kasut rayanya.

“Disebabkan suka kasut bertumit tinggi sampai kasut saya dipakainya dan yang tidak boleh tahan, siap bergaya naik tangga lagi.
“Kita yang tengok ini, takut sekiranya dia jatuh tapi dia dengan selamba sahaja,” kata Abby yang sibuk melayan kerenah anak-anaknya memilih kasut.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on August 20, 2011 at 5:34 PM said...

semoga tabah menjalani kehidupan buat abby dan anak2..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!