SEJAK kehadiran Imaan Lily dan Tiara Rose pada 28 April lalu, hidup Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus, 37, menjadi sedikit kecoh berbanding dahulu. Malah ketika penulis berkunjung ke rumah ibunya di Kemensah Mewah, Hulu Klang untuk sesi bergambar, jelas kelihatan Sazzy tak menang tangan untuk mengurus dua cahaya matanya itu.
Namun Sazzy bernasib baik kerana ibu bapa dan pembantu rumahnya sedia melayan kerenah si comel dan dapatlah dia disolek dengan tenang oleh Elle Rahman.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak yang menyusu badan anak kembarnya itu berkata, antara Imaan (kakak) dan Tiara, si adik sering meminta perhatian yang lebih.
“Imaan dan Tiara adalah kembar yang tidak seiras, jadi mudahlah untuk sesiapa sahaja mengenali mereka. Kata orang muka Imaan mirip saya, manakala Tiara pula orang panggil Nash Jr (Nazril).
“Kedua-duanya tidak banyak ragam tapi sesekali macam sepakat nak dera mami mereka. Memang kecoh sikit hidup saya sekarang ini, tapi saya seronok dapat melihat mereka setiap hari,” katanya memulakan bicara.
Kata Sazzy, biarpun anak-anaknya masih kecil, namun awal-awal lagi dia sudah menempah sepasang kurung berwarna hijau pudina yang menjadi tema mereka sekeluarga.
Anak jati Kuala Lumpur ini berkata, memandangkan dia dan suami menetap bersama ibu bapanya, maka tidak perlulah bersusah payah membuat persiapan raya.
“Nak buat persiapan hari raya, diri sendiri pun tak lepas. Nasib baik tinggal di rumah mak, jadi semua sudah siap. Saya tinggal di sini sewaktu dalam pantang.
“Ingat nak balik ke rumah kami di Damansara, tapi rasanya bukan dalam waktu terdekat ini. Biar baby besar sikit. Di sini ramai yang sayang dan ambil berat perihal Imaan dan Tiara,” katanya.
Tambahan pula, katanya, raya kali ini rumah ibunya yang merupakan anak sulung bakal menjadi tempat saudara mara berkumpul setelah datuknya, Abd. Rahim Mustapha, 78, meninggal dunia dua minggu sebelum Ramadan lalu.
Kata Sazzy, ibunya tetap akan meneruskan tradisi seperti yang dilakukan di rumah arwah datuknya di Ampang.
“Masakan wajib dihidangkan adalah ayam kalio, rendang, lemang dan biskut raya. Saya paling suka makan ayam kalio iaitu rendang basah.
“Setiap kali hari raya, apabila saudara mara berkumpul memang riuh. Mana taknya, saya mempunyai ramai sepupu. Seronoknya, kami tiga orang ini bersalin pada awal, pertengahan dan hujung April. Sah hari raya ini berlawan tayang anak,” katanya ketawa.
Walaupun sibuk beraya dengan sanak saudara, Sazzy juga tidak lupa untuk pulang beraya dengan mertua di Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari raya kedua.
“Saya beruntung kerana Nash tidak memaksa. Mungkin dia seronok beraya dengan keluarga saya yang memang bising. Keluarga saya tak perlu tunggu majlis, hari biasa pun kecoh,” kata Sazzy yang turut menyediakan gaun untuk anak kembarnya itu.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment