Monday, August 29, 2011

Renjatan elektrik..


Seorang ibu tergamam setelah melihat anak lelakinya terbaring dengan tubuh berasap selepas terkena renjatan elektrik kabel bervoltan tinggi ketika sedang bermain kereta mainan dengan alat kawalan jauh di Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd. Shafiq Mat Isa, 10, mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah tangan, kaki kiri dan sebahagian badan melecur akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu mengikut ibunya bekerja sebagai pekerja pembersihan di stesen berkenaan.
Ibunya, Norashahin Ujang, 52, memberitahu, ketika kejadian dia sedang membersihkan sebuah gerabak, manakala anaknya itu bermain kereta mainan dengan dengan memegang sebuah alat kawalan jauh di luar gerabak berkenaan.

“Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman yang kuat dan apabila menjenguk keluar tingkap gerabak berkenaan saya terkejut apabila melihat anak saya sudah terbaring di atas lantai dengan tubuhnya berasap.
“Saya terus keluar dan memeluk anak saya tetapi dia tidak bergerak malah saya melihat sebahagian baju serta seluarnya mempunyai kesan terbakar seperti disambar api.

“Pada masa yang sama saya juga melihat alat kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq sudah terbakar dan berada tidak jauh dari anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ) di sini, hari ini.
Tambahnya, dia tidak sangka alat kawalan kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq boleh menyebabkan anaknya itu terkena renjatan elektrik dari kabel yang terletak kira-kira dua meter dari mangsa.
“Saya bersyukur kerana nyawa anak saya masih panjang walaupun arus yang mengalir dalam tubuhnya itu sangat tinggi sehingga menyebabkan simen di mana anak saya berdiri turut berlubang,” katanya sedih.

Sementara itu, Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Fadzil Ismail memberitahu, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ini kejadian pertama berlaku membabitkan alat kawalan jauh dari sebuah kereta mainan.
“Buat masa ini kita akan menyiasat perkara itu termasuk membuat kajian berhubung bahaya menggunakan permainan kawalan jauh berhampiran kabel bervoltan tinggi.

“Kita melahirkan rasa simpati dengan apa yang menimpa kanak-kanak itu dan pihak kami akan membuat susulan terhadap kesihatan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan tersebut untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.




.

2 Penyokong CHELSEA:

- abdul hadi abdul muti - on August 29, 2011 at 11:14 AM said...

semoga adik tu selamatlah hendaknya..

Ce'gu JAERA on August 29, 2011 at 12:22 PM said...

laaaa.... kes macam ni pun ada... bahaya rupanya main alat kawalan jauh ni... tak nak beli la kalau cenggitu.. huh

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!