Orang ramai yang mengunjungi hentian bas Terminal Satu di sini gempar apabila seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di situ maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan berkenaan hari ini.
K. Vijayandran, 26, ditemui mati oleh orang ramai kira-kira jam 10.30 pagi di kawasan tempat letak bas bangunan itu.
Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Pasir, Jalan Rasah di sini tidak bekerja hari ini, namun dia dipercayai mahu berjumpa majikannya untuk mengadu masalah yang dihadapinya.
Ketua Unit Pengurusan Terminal Satu, Norziana Zarit berkata, Vijayandran sebelum ini ada menghubunginya dan memberitahu bahawa dia mahu bertemu dengannya bagi mengadu masalah.
"Sepatutnya Vijayandran berjumpa dengan saya hari ini tetapi saya amat terkejut apabila diberitahu dia meninggal dunia akibat terjatuh bangunan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kesian kan. hajat tak kesampaian
Post a Comment