SEBAIK sahaja melangkah kaki ke dunia seni, anak muda ini sudah mengatur kemas langkahnya bagi memastikan impiannya tercapai sebagai seorang anak seni yang berjaya.
Semangat kental yang ditunjukkan Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali dengan nama komersial, Aizat ini membuktikan kehadirannya ke pentas seni bukan sekadar suka-suka.
Dengan pelbagai pengiktirafan baik dari segi popular mahupun terbaik yang sudah diterimanya berjaya membuka mata masyarakat bahawa bakat dimilikinya bukan sembarangan.
Menyedari keseriusannya sebagai seorang karyawan, Aizat dengan penuh teruja memberitahu dia bakal membuka studionya sendiri tidak lama lagi.
Jelas Aizat, dia dan abangnya, Anas akan mengusahakan studio yang bakal dibina di pejabat Kasi Gegar Entertainment (KGE) di Ampang, Selangor itu tidak lama lagi.
"Saya cukup gembira kerana impian saya untuk memiliki studio sendiri akhirnya terlaksana juga. Malah, sejak dari awal lagi sewaktu mula-mula menjadi artis, ia merupakan salah satu cita-cita saya.
"Selepas hampir empat tahun menjadi artis, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya merealisasikan impian itu," jelas Aizat sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa, Aizat & Frenz anjuran Dream Music di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujar penyanyi muda yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu lagi, pembinaan studio itu masih lagi di peringkat perbincangan.
Katanya lagi, ia memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan studio yang dibina itu dapat mencapai kepuasan kepada semua pihak.
"Memang banyak perkara yang perlu diambil kira apabila mahu menubuhkan studio. Kita perlu memastikan peralatan dan sistem audio berada dalam keadaan terbaik.
"Bukan itu sahaja, persekitaran bilik yang akan ditukar menjadi studio itu juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan mutu bunyi yang baik.
"Jadi, buat masa ini kami masih lagi berbincang dan merangka pelbagai perkara untuk penubuhan studio ini," jelas Aizat yang mula dikenali menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima pada tahun 2007 ini lagi.
Penyanyi dan komposer berusia 22 tahun ini juga tidak menafikan dengan penubuhan studio itu kelak adalah sebagai langkah awalnya sebagai seorang ahli perniagaan.
Katanya, selepas merakamkan dua albumnya di studio milik orang lain, Aizat begitu kepingin untuk menerbitkan albumnya di studio miliknya juga.
"Dengan adanya studio kelak, ia juga akan menjadi tempat untuk saya bekerja dan menghasilkan lagu. Sebagai seorang pengkarya, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk studio saya itu.
"Sudah pasti, saya mahu melihat ia berjaya dan siapa tahu, studio saya itu nanti akan setanding dengan Studio Abbey Road, London yang merupakan studio yang cukup saya kagumi," ujar pengagum kumpulan The Beatles ini yang kelihatan semakin kurus ini sambil ketawa.
DFP menanti Aizat
BIARPUN album keduanya, Urusan Aizat Amdan masih lagi mendapat tempat di kalangan pencinta muzik tempatan, Aizat kini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album ketiganya.
Sudah mempunyai beberapa lagu dalam simpanannya, penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-16 (2009) ini mahu berterusan bereksperimentasi dengan muzik baru agar karyanya tidak kedengaran statik.
Dalam hal ini, pelantun lagu Sungai Lui dan Lagu Kita ini mengambil contoh penerimaan positif masyarakat terhadap album Urusan Aizat Amdan yang ternyata membuatkannya berasa puas hati.
Selain itu, Aizat turut mengkhabarkan dia akan beraksi dalam sebuah persembahan di Sydney, Australia sebelum penghujung tahun ini.
"Tetapi, apa yang lebih mengujakan saya apabila terpilih mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di bawah siri Spotlight pada 3 Oktober ini.
"Sebelum ini, saya hanya membayangkan diri saya menyanyi di pentas yang cukup gah itu. Namun, tidak sangka pula akhirnya impian itu bertukar realiti.
"Sesungguhnya saya cukup teruja dan dalam masa yang sama gementar juga. Sudah pasti saya akan menyampaikan lagu-lagu popular saya selain lagu lama kegemaran saya yang diberi nafas baru.
"Secara eksklusifnya juga, saya akan menyampaikan lagu-lagu baru saya nanti," kata Aizat tentang persembahan yang juga akan menampilkan Yuna pada 12 dan 13 September.
Bagi mereka yang berminat mahu menonton persembahan Aizat di DFP, bolehlah melayari laman web, www.dfp.com.my untuk keterangan lanjut.
.
2 Penyokong CHELSEA:
suke lagu2 aizat.. (~_~)
jom singgah
ady budika BW blog tett tett
aizat walaupun tak menang sebarang anugerah semasa menuntut di Akademi fantasia, tapi dia adalah artis produk AF yang paling berjaya setakat ini.. all the best buat aizat
Post a Comment