Monday, September 12, 2011

Mek Salema jual pucuk paku sara lapan sekeluarga


Rutin harian Mek Salema Ngah, 42, biasanya akan bermula seawal pukul 6 pagi.
Setelah menyiapkan sarapan secara ala kadar untuk keluarganya, dia akan bergegas ke Pasar Borong Wakaf Beruas yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Tujuannya adalah untuk menjual ulam-ulaman termasuk pucuk paku dan daun kayu yang dikutip suaminya, Rahmat Ismail, 40, pada petang hari sebelumnya.
Dengan pendapatan RM25 hingga RM30 sehari itulah pasangan tersebut membesarkan enam anak mereka termasuk empat yang masih bersekolah.

Menurut Mek Salema, pendapatan yang diperoleh hasil jualan itu hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Selebihnya, kata Mek Salema, adalah bergantung kepada ihsan jiran tetangga terdekat.
"Kalau nak ikut, memang tak cukup (pendapatan dan belanja harian). Tapi ok lah sebab yuran sekolah pun boleh bayar sikit-sikit.

"Lagipun, rumah yang saya duduk ni rumah peninggalan abang sulung. Walaupun tak ada elektrik dan air, kami bersyukur kerana abang yang tinggal dekat rumah sanggup tolong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepong di sini, baru-baru ini.
Empat daripada anak Mek Salema yang masih bersekolah ialah Norida, 17, Norsyafirah, 15, Mohd. Hafiz, 13, dan Aiman yang bersekolah tabika.

Anak sulung mereka iaitu Mohd. Baharuddin, 18, pula pernah bekerja sebelum ini tetapi kini menganggur manakala yang bongsu, Norsyafikah pula baru berusia setahun setengah.
Dalam pada itu, Rahmat pula berharap agar diberi pekerjaan tetap bagi menanggung kehidupan mereka lapan beranak.

"Kalau tak dapat kerja tetap pun, dapat tapak untuk berniaga sudah cukup," katanya yang pernah mengambil upah memasang tingkap 10 tahun lalu.
Pada masa sama, Rahmat turut berharap agar pihak yang berkenaan dapat menghulurkan bantuan bagi memperbaiki atap rumah mereka yang rosak akibat ribut baru-baru ini.
"Saya nak minta bantuan PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) susah sebab tanah ni (tapak rumah) milik abang ipar," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Alor Limbat, Alias Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.
"Jika benar dia (Rahmat dan isteri) ingin berniaga, dia perlu cari tapak dahulu dan kita akan uruskan yang selebihnya," katanya.



.

2 Penyokong CHELSEA:

Ct Arina on September 12, 2011 at 3:32 PM said...

yg senang makin senang, yg susah makin susah.

Ce'gu JAERA on September 13, 2011 at 5:26 PM said...

di saat ketika menghntar ribuan bantuan ke luar negara.. rupanya rakyat dalam negara sendiri masih ada yang menderita... huhu

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!