Friday, September 16, 2011

Pengalaman lalu memberi pengajaran..


Tindakan pelakon Norman Hakim, 35, yang menyembunyikan perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi suatu ketika dulu memberi pengajaran besar kepadanya untuk tidak melakukan perkara sama pada perkahwinannya kali ini dengan Memey Suhaiza, 23.

Norman berkata suatu ketika dahulu, dia lupa bahawa sebagai seorang selebriti, dirinya adalah milik masyarakat yang perlu berkongsi apa sahaja cerita termasuklah hal peribadi kepada umum.
"Saya sedar perceraian saya dengan Abby memberi kesan buruk kerana kontroversi rumah tangga kami.
"Tetapi, pengalaman itu mengajar saya. Jika dulu saya lupa yang diri ini adalah hak milik masyarakat dan kali ini saya akan kongsi hal peribadi saya kepada umum terutama bagi benda-benda yang penting seperti perkahwinan.

"Apa-apa pun, saya tak mahu membuat perbandingan dengan perkahwinan dahulu kerana apa yang dilalui dalam kehidupan saya merupakan satu fasa kehidupan baru," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman busana pengantin Norman dan Memey di butik Lord's Taylor, Bangsar Shopping Center, di sini, Khamis.

Norman dan Abby pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
Bagaimanapun, Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. Sehari selepas itu majlis resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.

Pada 28 September depan pula, majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan Kosmopolitan dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.

Menariknya Memey akan menyarungkan gaun pengantin pereka tersohor dunia, Vera Wang pada majlis perkahwinannya pada 28 September itu.
Menurut perancang perkahwinan mereka, Billbora, gaun yang menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Mariah Carey dan Invanka Trump itu telah dibeli oleh Rafflesia, menerusi sebuah agen di Hong Kong.

"Memey akan mengenakan dua gaun pengantin pada majlis tersebut dan salah satunya daripada rekaan Vera Wang yang berkonsepkan Bohemian. Bagaimanapun ia bukanlah ditempah khas sebaliknya dibeli oleh pihak Rafflesia yang inginkan kelainan pada majlis tersebut.
"Sebuah lagi gaun yang akan dikenakan pula direka khas oleh tiga pereka tempatan daripada Rafflesia dengan bertatahkan mutiara gred A yang bernilai RM500,000," katanya

Tambah Billbora, bagi pakaian pengantin lelaki pula, Norman akan mengenakan dua pasang sut tradisional Inggeris rekaan Lord's Taylor bernilai RM10,000 setiap satu.
Menarik lagi, keempat-empat gaun dan sut pengantin tersebut akan dipamerkan untuk satu acara istimewa di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember depan.

Selain Rafflesia, Lord's Taylor dan Vera Wang, Profesor Datuk Jimmy Choo juga akan menghasilkan dua pasang kasut khas buat Memey yang bernilai RM300,000.
Antara selebriti yang akan menjadi pengapit pengantin ialah Miera Liyana, Fathia, Julia Ziegler, Eina, Fahrin Ahmad dan Afiq Muiz.

Sementara itu, kata Memey, dia dan Norman mula berdebar menanti detik perkahwinan mereka apabila melihat pelbagai tajaan yang diterima dan pada masa sama, para peminat telah membuat pengiraan detik di akaun Facebook mereka.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!