Seorang pengusaha gerai di Lembah Jaya Utara, Jalan Bukit Belacan, Ampang dekat sini hari ini, terkejut apabila mendapati objek hangus dalam parit di seberang jalan berhadapan rumah yang mulanya disangka anak patung rupa-rupanya adalah mayat remaja perempuan yang mati dibakar.
Rahmad Saidon, 60, berkata, dia sedang bersiap-siap mahu menghantar anaknya ke sekolah pada pukul 12 tengah hari, apabila terdengar isterinya menyergah dua kanak-kanak yang menjenguk ke dalam parit yang penuh dengan pokok keladi itu.
Katanya, kanak-kanak terbabit kemudian memberitahu mereka berasa seram kerana ternampak satu objek seakan-akan manusia dan juga anak patung terbakar dalam rimbunan pokok keladi di situ.
“Saya kemudian pergi melihat objek yang dikatakan itu dan pada mulanya memang menyangka ia anak patung tetapi apabila diamati betul-betul, baru saya perasan benda terbakar itu adalah tubuh manusia,” katanya ketika ditemui di gerainya terletak 10 meter dari tempat kejadian hari ini.
Rahmad berkata, dia tidak pasti mayat itu adalah lelaki atau wanita kerana seluruh tubuhnya berwarna kehitaman dan terdapat bahagian yang hangus termasuk rambut, dada serta alat sulit.
Katanya, disebabkan kesuntukan masa mahu menghantar anak ke sekolah, dia meminta isterinya memaklumkan penemuan mayat itu kepada sepasukan anggota polis yang kebetulan menjalankan tugas rondaan di kawasan tersebut.
Tambahnya, sejak menutup gerai pada pukul 9.30 malam tadi sehinggalah pagi ini, dia tidak melihat individu mencurigakan berlegar atau membuang sesuatu objek di situ.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat yang 80 peratus terbakar itu dikenal pasti sebagai remaja wanita tetapi belum dapat dipastikan sama ada mangsa dibakar di tempat lain sebelum dibuang di tempat kejadian.
“Identiti mangsa juga belum dapat dikenal pasti kerana tiada barang-barang termasuk dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.
“Namun, kita akan membuat semakan pada rekod orang hilang yang pernah dilaporkan sebelum ini, di samping mengambil keterangan dan maklumat saksi,” katanya.
Beliau memberitahu, mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang bersama secebis baju itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, penemuan mayat remaja terbabit turut menarik perhatian seorang lelaki warga emas yang khuatir mangsa mungkin anak gadisnya dikenali sebagai Anna berusia 16 tahun yang melarikan diri dari rumah sejak hari raya kedua lalu.
Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salleh berusia 63 tahun bergegas pergi ke tempat kejadian dan meminta kebenaran polis untuk melihat mayat tersebut bagi tujuan pengecaman.
Pihak polis bagaimanapun memintanya membuat laporan terlebih dahulu dengan membawa gambar anaknya.
.
3 Penyokong CHELSEA:
astaghfirullah hal azim.. sampai hangus kena bakar... melampau2 betul suspek ni...
nauzubillah...
kenapa la manusia sekejam ni
nauzubillah...
kenapa la manusia sekejam ni
Post a Comment