JIKA dilihat pada zahirnya dia sama seperti kanak-kanak lain. Membesar dengan sempurna, keletah dan manja serta memiliki kulit cerah tanpa sebarang cela.
Hakikatnya tiada siapa tahu kanak-kanak ini mempunyai penyakit ‘misteri’ iaitu tidak boleh menjamah makanan sejak dilahirkan.
Akibatnya, Muhammad Daniel Mohd Idham, 10, hanya bergantung sepenuhnya kepada susu tepung yang dibancuh di dalam cawan atau minum Milo dan soya untuk meneruskan hidup.
Walaupun diumpan dengan segala makanan yang sedap dan enak, anak pertama daripada dua beradik ini langsung tidak teruja. Malah boleh dikatakan makan tiada dalam kamus hidupnya atau tidak pernah diprogramkan dalam otak Daniel.
Menurut ibunya, Shuhaila Saidon, 37, Daniel akan menolak apabila disuruh makan. Pernah satu ketika Daniel muntah-muntah apabila melihat iklan makanan ringan di televisyen. Bagi Daniel, makan tidak penting dan dia langsung tiada nafsu ke arah itu.
Ketika sedang menikmati segelas susu, penulis bertanya kepada Daniel, apakah rasa Milo? Dia lalu memberitahu rasanya sedap, masin dan berlemak. Itulah saja gambaran rasa bagi Daniel, dia tidak pernah menyebut deria rasa yang lain.
Malah ada pakar perubatan yang ditemui Shuhaila memberitahu kemungkinan Daniel mempunyai masalah saraf yang menyebabkan dia tidak mempunyai deria rasa seperti orang lain.
“Mungkin ada kebenarannya kerana pernah satu ketika Daniel yang pernah diberi minum air Laut Mati dari Makkah mengatakan minuman itu sedap sehingga dia menjilatnya berkali-kali sedangkan rasanya terlalu masin sehingga tidak mampu ditelan orang lain,” jelas Shuhaila.
Menceritakan detik bagaimana mengandungkan Daniel, menurut Shuhaila, dia tidak mengalami sebarang alahan atau perkara pelik ketika mengandung. Namun disebabkan mengalami masalah uri di bawah, Daniel dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 12 Oktober 2001 di Hospital Selayang, Selangor. Ini menyebabkan dia bergantung kepada mesin inkubator selama 10 hari.
Namun, Daniel mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Seperti kanak-kanak lain, ketika empat bulan Daniel diberi makan tetapi dia tidak dapat menerimanya sehinggalah usianya mencecah setahun dan Daniel langsung tidak boleh merasa sebarang jenis makanan.
“Kami sekeluarga mula menyedari keganjilan Daniel seawal usia empat bulan apabila dia meluahkan apa saja makanan yang disuap ke mulutnya. Saya juga sudah mencuba banyak cara agar dia menelan makanan seperti memasukkan makanan pejal yang dikisar halus ke dalam botol susu tetapi semua tidak berhasil.
“Setahun saya berulang-alik ke klinik dan doktor yang merawat Daniel memberitahu ini perkara biasa bagi kanak-kanak dan hanya berkaitan psikologi. Apabila usianya meningkat, dia akan berubah dan gemar kepada makanan.
“Selepas usia Daniel menjangkau tiga tahun, saya membawanya berjumpa pakar kanak-kanak. Namun masih sama, dia menunjukkan perlakuan seperti jijik pada makanan,” katanya.
Sebagai ibu, Shuhaila bimbang memikirkan perkembangan Daniel. Walaupun ada yang berkata, buat apa risau sedangkan Daniel sihat namun naluri keibuannya tidak tenang. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan sejak tiga tahun lalu kesihatan Daniel semakin merosot. Dia mudah penat, kerap asma dan gastrik yang teruk sehingga adakalanya tidak dapat ke sekolah. Sudah tentu ini mengganggu pembelajaran Daniel di sekolah.
“Jika berada di luar, Daniel ibarat tidak cukup oksigen. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan. Sebab itu dia langsung tidak boleh melakukan sebarang aktiviti luar bilik darjah. Di sekolah saya meminta guru memantau pergerakan Daniel dan tidak membenarkannya menyertai aktiviti sukan.
“Pernah dia cuba berpuasa tetapi tidak sampai ke petang Daniel pitam. Sejak itu saya tidak pernah menyuruhnya berpuasa lagi,” katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.
Oleh kerana tidak makan di sekolah, Daniel hanya dibekalkan susu serta Milo. Namun dalam keadaan cuaca panas Daniel memerlukan jumlah cecair yang banyak untuk dia kekal bertenaga sepanjang hari.
Sebab itu satu tin susu 900 gram yang berharga RM70 hanya bertahan untuk satu setengah hari saja. Malah pada usia 10 tahun, jadual minum susu dalam kadar tidak menentu. Dia akan minum apabila lapar, adakalanya sehingga berbelas kali sehari. Ini menyebabkan doktor memberitahu kemungkinan buah pinggang Daniel akan rosak disebabkan kadar minum yang tidak menentu.
“Ketika berusia tujuh tahun, Daniel mengambil susu tidak kurang 16 kali sehari dengan kuantiti 250 mililiter setiap kali pengambilan. Apabila usia meningkat, jumlah susu semakin bertambah dan dia minum tanpa mengikut jadual sehingga mencecah puluhan kali sehari.
“Saya bimbang memikirkan keadaan Daniel kerana sehingga setakat ini, tiada cara atau rawatan dilakukan ke atasnya disebabkan pakar perubatan tidak dapat mengesan puncanya. Jika ini berlarutan, ia akan menjejaskan kesihatan Daniel,” ujar Shuhaila.
Shuhaila memberitahu, bagi memantau perkembangan Daniel, dia sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat perbankan semata-mata untuk memastikan kesihatan anaknya. Pada masa sama, pelbagai kaedah perubatan sama ada moden atau tradisional dicuba namun tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Dia juga banyak mendapatkan maklumat menerusi Internet mengenai penyakit yang menimpa Daniel. Dari situ, Shuhaila banyak belajar mengenai istilah dalam bidang perubatan yang selama ini tidak pernah diketahuinya.
Oleh kerana kes ini jarang berlaku di Malaysia, Shuhaila menerima maklum balas daripada masyarakat yang meminta dia bersyukur dan menerima keadaan Daniel seadanya kerana Daniel sihat dan tidak sakit.
“Malah ramai pula berkata, saya beruntung kerana anak tidak makan dan ini menjimatkan kos. Pada saya perbelanjaan Daniel tidak penting kerana kami sanggup melakukan apa saja asalkan Daniel pulih seperti kanak-kanak lain. Saya dan suami tidak sampai hati melihat keadaannya. Bayangkan jika ini berterusan untuk 10 tahun akan datang?” katanya.
Bagi menampung pendapatan suami, Mohd Idham Atan, 36, Shuhaila melakukan kerja sambilan seperti membuat pembungkusan hamper dan katering di kawasan perumahan. Sekurang-kurangnya duit itu dapat digunakan bagi membeli susu Daniel.
“Walaupun saya tidak perlu menyediakan makanan untuk Daniel, kos untuk membeli susu sangat mahal,” katanya.
Melihat keadaan anaknya yang adakalanya pucat tidak bermaya dan tidak boleh berada di luar rumah melebihi dua jam, Shuhaila tidak tahu kepada siapa dia harus mengadu. Bukan mahu menyerah kalah tetapi sekurang-kurangnya dia dan suami boleh merujuk pada mana-mana pakar perubatan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai penyakit Daniel dan mendapatkan rawatan sesuai.
Walaupun kes ini masih baru di Malaysia dan pakar perubatan masih belum dapat mengesan puncanya, Shuhaila dan suami sangat berharap agar ada pihak tertentu tampil membantu mengurangkan bebanan emosi yang ditanggungnya kini.
“Saya sangat berharap sekiranya ada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan atau mengetahui tempat rawatan untuk Daniel. Siang dan malam saya berdoa agar Daniel mampu menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain. Saya sangat sayangkannya dan tidak mahu melihat masa depannya gelap kerana masalah ini,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment