SETELAH setahun menyepi diri dari dunia pengacara, Datin Nor Azlina Redzuan kini kembali menghias kaca televisyen (TV) menerusi rancangan terbaru terbitan TV3, Intai Intai Deko.
Tanpa berselindung, wanita kelahiran Perlis ini memberitahu, dia teruja apabila diberi peluang untuk kembali beraksi di hadapan kamera dan menyampaikan informasi kepada masyarakat.
Cerita Azlina, jiwa dan minatnya terhadap dunia penyiaran masih tebal biarpun telah meninggalkan karier sebagai personaliti TV sejak setahun lalu.
"Saya berhenti untuk memberikan tumpuan kepada keluarga. Apabila sudah duduk di rumah rasa janggal pula kerana tiada kerja yang boleh dibuat.
"Lalu setelah berbincang dan mendapat izin suami saya membuat keputusan untuk kembali mewarnai dunia penyiaran," kata isteri kepada Datuk Yusof Annuar Yaacob itu ketika ditemui pada pelancaran rancangan Intai Intai Deko di TV3, baru-baru ini.
Tambahnya, biarpun pernah mengacara beberapa rancangan seperti Majalah Tiga dan Nona, hatinya tetap disapa kerisauan untuk muncul semula.
"Kali terakhir saya menjadi pengacara adalah enam tahun lalu. Jadi untuk kembali mengacara timbul rasa kurang keyakinan dalam diri saya.
"Terlintas juga di fikiran ini apakah kemunculan semula saya masih mampu menarik minat penonton seperti dahulu ataupun sebaliknya," katanya lembut.
Menyambung bicara, wanita yang lebih mesra di sapa Alin ini memberitahu, salah satu sebab dia kembali ke dunia penyiaran kerana minatnya terhadap bidang kewartawanan yang tidak pernah luntur dari jiwanya.
"Saya begitu teruja apabila diberi peluang untuk kembali melakukan tugas sebagai pengacara TV apatah lagi minat saya ini disokong oleh suami tercinta.
"Malah suami juga lebih suka saya bekerja daripada duduk di rumah," jelasnya.
Selain itu, dalam pertemuan berkenaan, Alin turut menolak pandangan skeptikal masyarakat yang sering mengandaikan kemunculan semula selebriti ke persada seni setelah berkahwin berpunca daripada masalah rumah tangga.
"Tidak timbul soal itu kerana ini adalah kerjaya yang saya minati. Bagi saya tiada salahnya seorang wanita yang berkahwin meneruskan kerjayanya asalkan pandai membahagikan masa antara kerjaya dan alam rumah tangga.
"Tetapi apa yang penting mendapat keizinan daripada suami terlebih dahulu.
"Seperti saya, suami sangat memberi sokongan malah dengan kembali meneruskan kerjaya sedikit sebanyak ada juga perkara yang boleh kami bualkan atau bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan bidang masing-masing," katanya.
Menyentuh mengenai rancangan terbaru yang dihoskan itu, Alin menambah, Intai Intai Deko adalah sebuah rancangan berkonsepkan gaya hidup yang bertujuan memberikan ilham dan inspirasi kepada para penonton untuk menghias rumah mereka.
"Apa yang menarik program ini menampilkan slot istimewa mendedahkan isi kediaman beberapa selebriti tanah air.
"Sebenarnya melalui rancangan ini, tuan rumah itu sebenarnya menjadi keutamaan yang ingin ditonjolkan," katanya menerangkan serba ringkas berkenaan dengan rancangan 13 episod itu.
Intai Intai Deko telah mula bersiaran pada 15 September lalu, setiap Khamis menerusi slot Senda Pagi, pukul 11.30 pagi di TV3.
.
1 Penyokong CHELSEA:
sure menarik rancangan ni.. akak pun suka sgt dgn cara pengacaraan dia..
Post a Comment