Sepasang suami isteri yang hidup dalam kemiskinan merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatan seorang anak mereka yang menghidap penyakit saluran jantung tersumbat.
Rohariza Che Lah, 32, berkata, bayinya yang berusia dua bulan, Mohd. Shahrul Danish Hisham sukar bernafas sejak dilahirkan akibat masalah itu.
"Saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut dan doktor mengesyaki anak saya menghidap penyakit saluran jantung tersumbat.
"Kos rawatan bulanan dianggarkan sekitar RM500 dan saya juga terpaksa memikirkan belanja untuk menyara dua lagi anak kecil berusia tiga dan tujuh tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bunga Raya, Tongkang Yard di sini hari ini.
Rohariza memberitahu, keluarganya tiada punca pendapatan kerana dia yang sebelum ini bekerja di sebuah gerai makan untuk menyara mereka lima beranak terpaksa berhenti selepas melahirkan bayi tersebut manakala suaminya tidak boleh bekerja selepas terlibat dengan kemalangan tujuh bulan lalu.
"Kami sekeluarga terpaksa menyewa sebuah bilik kecil dengan bayaran RM80 sebulan dan kami memang kesempitan wang sekarang. Saya hanya mengharapkan belas kasihan orang untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga," jelasnya.
Tambah Rohariza, dia gusar apabila memikirkan cara hendak mencari wang untuk membiayai kos rawatan anaknya itu di samping memastikan makan dan minum keluarganya mencukupi.
"Saya sudah isi borang untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), tetapi masih belum mendapat apa-apa jawapan. Saya harap JKM dapat membantu kami sekeluarga dan anak saya yang sedang sakit ini," katanya.
Kesempitan hidup membuatkan keluarga tersebut tidak mempunyai telefon untuk dihubungi atau pun nombor akaun.
Orang ramai yang ingin menderma boleh datang sendiri ke bilik sewa mereka di lorong masuk bersebelahan Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Jalan Bunga Raya, Tongkang Yard di sini.
.
1 Penyokong CHELSEA:
tersentuh baca kisah ini.. harap ada insan dan pihak tertentu yang sudi menghulurkan bantuan...
Post a Comment