Wednesday, October 19, 2011

Diploma jadi kenangan keluarga


Jika ibu bapa lain tersenyum lebar meraikan hari konvokesyen anak masing-masing, Nasarudin Ahmad dan isteri, Rosazizi Abd. Rahim pula terpaksa menahan pilu ketika menerima diploma bagi pihak anak sulung mereka.

Cukup memilukan pasangan suami isteri itu apabila mengetahui Allahyarham Fatin Nadiah yang maut dalam nahas jalan raya pada 24 April lalu, ialah salah seorang pelajar cemerlang program Diploma Pertanian pada Konvokesyen Ke-35 Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Arwah tidak sempat menyarung jubah konvo tetapi saya terima pemergiannya sebagai takdir dan reda dengan ketentuan Tuhan.

“Diploma hasil usaha arwah akan kami jadikan kenangan kami sekeluarga dan dorongan buat dua adik lelakinya,” katanya ketika ditemui selepas menerima diploma daripada Pro-Canselor UPM, Tan Sri Dr. Nayan Arifin pada hari keempat konvokesyen universiti itu di sini, hari ini.
Sementara itu, sepasang suami isteri turut berkongsi kegembiraan apabila menerima ijazah sarjana dalam program Pembangunan Sumber Manusia pada majlis konvokesyen tersebut.
Dahalan Saklam, 36, dan isterinya, Siti Sharifah Nor Mohd. Yusof, 38, tidak pernah menjadikan kepenatan bekerja dan jarak rumah yang jauh sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.

“Kami tinggal di Melaka dan setiap hujung minggu kami akan berulang-alik ke UPM bagi mengikuti kuliah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Siti Sharifah, paksaan suaminya untuk menyambung pelajaran membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendapat ijazah sarjana dengan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) yang memberangsangkan.
Bagi pasangan adik-beradik, M. Kogila, 25, dan M. Antaran, 27, mereka tidak akan memperolehi kejayaan seperti hari ini tanpa sokongan bapa yang banyak berkorban untuk mereka.

“Bapa hanya bekerja sebagai pemandu lori, namun dia tetap berusaha bagi menampung perbelanjaan pengajian kami,” kata adik-beradik ini yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Menurut mereka, belajar dalam satu jurusan yang sama memberi banyak kelebihan untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan.








.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!