Thursday, October 20, 2011

Hilang tempat tinggal


Lima beranak yang dikategorikan daripada keluarga termiskin hilang tempat tinggal apabila rumah pusaka pemberian nenek mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Gong Ara, dekat sini, malam tadi.
Kebakaran berlaku pukul 9 malam ketika Faizal Yusof, 31, bersama isterinya, Roshamila Mamat, 23, serta tiga anak berada di rumah ibu mereka, Halimah Ismail, 44, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Roshamila berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh adiknya, Zairul Fatahan Mamat, 19, tetapi hanya tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana terkejut.
Katanya, kesemua pakaian anak-anak iaitu Norharis Idayu Faizal, 6; Mohd. Hafizul Hisyam, 3; dan Nur Fatihah, 1, musnah dalam kebakaran.

"Selalunya pada pukul 7 petang kami akan berada di rumah emak dan kembali ke rumah pada pukul 10.30 malam setiap hari untuk tidur terutama apabila ada penduduk meminta suami saya melakukan kerja-kerja kampung pada waktu malam.
"Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang termasuk kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat beranak ahli keluarga.

"Tiada barangan berharga yang hangus kerana kami keluarga miskin dan mengharapkan pendapatan harian suami bekerja sendiri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.37 malam dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota untuk memadamkan kebakaran.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah RM20,000," katanya.









.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!