Kegembiraan lima sahabat selepas menghadiri satu majlis di pusat karaoke bertukar tragedi apabila seorang daripadanya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 19.3 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) arah utara dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Lee Zin Hao, 25, yang bekerja sebagai mekanik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak dari kenderaan dipandunya itu.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta Chevrolet Aveo bersama empat lagi rakannya berusia 20-an hingga 30-an dari Seremban menuju ke Kajang, Selangor.
Difahamkan, kelima-lima mereka yang berasal dari Kajang baru sahaja selesai menghadiri satu majlis di sebuah pusat karaoke di bandar ini.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya lalu merempuh besi penghadang jalan.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa dan seorang lagi penumpang di belakang tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira 10 meter," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, pemandu kereta itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang rakannya yang tercampak turut mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).
"Seorang lagi penumpang di dalam kereta terbabit turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala dua lagi rakan mangsa hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian dan mayat mangsa kini berada di HTJS untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," ujarnya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment