Friday, October 28, 2011

Rentas hutan bertukar tragedi


Aktiviti merentas hutan oleh lima pelancong asing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung setelah tersesat di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chris Birchill, 45, dari Australia manakala mereka yang diselamatkan ialah Jonathan, 54 dan Alan Chadwich, 33, yang merupakan rakan senegara mangsa.

Dua lagi ialah Marc Linneger, 35, dari Afrika Selatan dan James Fraser, 45, dari Britain.
Pelancong-pelancong terbabit yang mula masuk ke hutan itu kira-kira pukul 8 pagi semalam gagal keluar dan terpaksa menelefon rakan mereka di Singapura untuk meminta bantuan.
Operasi mencari dan menyelamat kesemua pelancong itu dilakukan mulai pukul 3 petang hingga 12.30 tengah malam semalam, namun mereka gagal ditemui.

Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi di lokasi berhampiran tebing sungai yang terletak pada ketinggian 365 meter dan tujuh kilometer dari pintu masuk hutan lipur berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelancong asing terbabit kira-kira pukul 3 petang semalam dan telah menggerakkan operasi mencari mereka.

"Kesemua pelancong warga asing itu masuk ke hutan lipur tersebut pada pukul 8 pagi semalam dan setelah berjalan selama tujuh jam mereka tersesat sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, setelah berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 2.30 petang, kesemua pelancong terbabit diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Segamat bersama-sama mayat Birchill.
Beliau berkata, kumpulan pelancong berkenaan difahamkan selalu melakukan aktiviti merentas hutan di sekitar negara ini, Thailand dan Indonesia.

Operasi mencari dan menyelamat pelancong warga asing terbabit melibatkan seramai 114 anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta orang awam.
Sementara itu, menurut seorang Renjer Jabatan Perhutanan negeri, Husin Abdul Latif, 38, dia berjaya menemui kumpulan pelancong asing yang sesat itu selepas mengikuti satu jejak ranting-ranting pokok yang telah dipatahkan.

"Kami mula menemui dua daripada pelancong itu di satu kawasan tebing sungai dan mereka melompat kegembiraan dan melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat," katanya.
Katanya, menerusi penemuan dua pelancong itu, pasukan mencari dan penyelamat telah dibawa ke tapak perkhemahan kumpulan pelancong tersebut dan turut menemui dua lagi pelancong serta mayat rakan mereka.
Jelas beliau, usaha untuk membawa keluar kumpulan pelancong itu mengambil masa hampir empat jam kerana hujan dan laluan hutan yang licin.







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!