Monday, November 7, 2011

Mati lemas selepas solat Aidiladha



Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha sebuah keluarga dari Kampung Ga, Pendang dekat sini bertukar duka apabila anak bongsu mereka mati lemas ketika mandi di Sungai Rambai, Kampung Lubuk Batu, Pendang, hari ini.

Mangsa, Mohd. Shahrol Nizam Idris, 11, dipercayai lemas selepas tersangkut di besi pintu air sewaktu mandi bersama dua lagi rakannya di sungai itu yang terletak satu kilometer dari rumah mereka, pukul 1 petang.
Bapa mangsa, Idris Mat Hashim, 49, berkata, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di surau kampung mereka, anaknya itu yang memakai sepasang baju Melayu berwarna kuning lembut terus keluar beraya bersama rakan-rakannya dengan menunggang motosikal.

Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila tiba-tiba didatangi oleh rakan Mohd. Shahrol yang memaklumkan bahawa anak bongsunya itu lemas di sungai tersebut, pukul 1.30 petang.
“Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat anak saya telah diangkat ke daratan dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang.

“Namun petugas di klinik itu mengesahkan Mohd. Shahrol telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Menurut Idris yang bekerja sebagai penoreh getah, sudah menjadi kebiasaan bagi Mohd. Shahrol yang pandai berenang mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.
Katanya, malang tidak berbau kerana arwah dipercayai tersangkut di besi pintu air sungai tersebut menyebabkannya lemas dengan kesan lebam ditemui di bahagian muka dan badan mangsa.

“Selepas menunaikan solat sunat Aidiladha pagi tadi, arwah sempat memeluk saya tetapi tidak berasa terlalu pelik kerana sebagai anak bongsu, dia sememangnya manja.
“Walaupun sedih dengan kehilangannya, saya reda kerana ia adalah ketentuan Ilahi,” ujarnya sayu.
Dalam pada itu, jurucakap polis yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.










.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!